UMK biayai yuran pengajian pelajar golongan asnaf

- Advertisement -

JELI: Hasrat seorang pelajar Nur Ainil Nadhirah Murazmi, 20 mahu menangguh pengajian ekoran kekangan kewangan keluarganya mendapat perhatian pengurusan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

- Advertisement -

Nur Ainil yang berasal dari Kuala Krai, sebelum ini berhasrat untuk menangguhkan pengajiannya memandang tiada wang untuk membayar yuran kemasukan serta lain lain keperluan.

Beliau menerima surat tawaran melanjutkan pengajian ke UMK pada 23 September lepas, namun terpaksa menangguhkan sesi pendaftaran kemasukan sesi pengajian 2023/2024 kerana masalah kewangan.

Desakan hidup ibunya, Noriza Mohamed Yaacob, 46, tidak mampu untuk menyediakan wang yuran kerana hanya bekerja sebagai pekerja am di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai.

Namun, dengan keprihatinan UMK melalui Seksyen Tatatertib & Kebajikan Pelajar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Pusat Islam UMK pelajar terbabit akhirnya diterima masuk untuk meneruskan pengajian.

Prof. Dr Mohammad Ismail berkata, UMK sentiasa prihatin masalah kewangan pelajar dalam kalangan asnaf dan B40 yang tidak berkemampuan untuk membayar yuran pendahuluan bagi proses pendaftaran kemasukan ke universiti.

Katanya, antara bantuan yang disediakan untuk pelajar baharu dari golongan asnaf dan B40 ialah bantuan pembiayaan yuran pengajian (melalui zakat Pusat Islam UMK), kemudahan komputer riba, menu madani (dua kali sehari), makanan kering food bank dan penginapan.

“Pelajar yang menerima surat tawaran kemasukan tetapi tidak mampu menyediakan bayaran yuran pendahuluan kemasukan diminta untuk melaporkan diri terlebih dahulu.

“HEPA, wakil Pusat Islam dan Dekan FIAT sentiasa membantu mereka dan hari ini kami segerakan proses pendaftaran Nur Ainil Nadhirah supaya dapat mendaftar di UMK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, tambahnya, UMK juga ada program SULUNG 2.0 yang merupakan bantuan pembiayaan pendidikan kepada pelajar anak sulung yang melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi dan daripada keluarga B40.

Katanya, program itu bagi membantu pelajar daripada keluarga B40 untuk membantu membiayai pengajian mereka sehingga tamat.

Tambah beliau, UMK menetapkan kadar yuran pendaftaran bagi kemasukan ke universiti tidak melebihi RM1,500 seperti saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Alhamdullilah, dengan sumbangan tersebut akan mengurangkan sedikit beban keluarga pelajar terbabit untuk memulakan pengajian di UMK.

“Saya berharap Nur Ainil Nadhirah dapat mengubah taraf hidup mereka dan keluar dari kepompong B40 selepas menamatkan pengajian nanti,” katanya.

Sementara itu Noriza, melahirkan rasa terharu dan gembira apabila UMK tampil membantu menjelaskan bayaran yuran pendaftaran termasuk menyediakan penginapan untuk anaknya.

“Kami sekeluarga bersyukur kerana Nadhirah mendapat tawaran belajar di UMK. Kami tidak mampu untuk menyediakan wang yuran kerana ada anak-anak yang masih bersekolah dan tidak ada sumber pendapatan lain,” katanya.

Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada UMK kerana cakna membantu pelajar yang mengalami masalah kewangan.

Nur Ainil Nadhirah mendapat tawaran mengikuti program Ijazah Sains Gunaan (Teknologi Pembangunan Produk), Fakulti Industri Asas Tani (FIAT). – HARAKAHDAILY 27/10/2023