KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjalin kerjasama dengan Skyline University College (SUC) di University City of Sharjah di Dubai Emeriah Arab Bersatu (UAE).
Kerjasama itu dilaksanakan melalui menandatangani surat niat (LoI) dalam bidang akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa.
Majlis menandatangani LoI itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof Dato’ Dr Nik Maheran Nik Muhammad dan Naib Canselor SUC, Prof Mohammad In’ Airat, di Dubai UAE hari ini.
Turut hadir, Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) UMK Prof Madya Dr Roslizawati Che Aziz, Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Fadly Amri Aliaman dan Pengarah Education Malaysia Dubai, Ahmaf Razaly Abdul Rahim.
Dr Nik Maheran berkata, dalam tempoh terdekat UMK dan SUC akan meneruskan kerjasama berkaitan perkongsian kepakaran dalam beberapa bidang akademik serta penyelidikan.
Katanya juga lawatan kerja itu membolehkan UMK meneroka lebih banyak peluang kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi dan industri yang berpotensi masa hadapan.
“SUC merupakan antara universiti tertua di Dubai yang turut menjalinkan kolaborasi dengan tujuh universiti di Malaysia.
“Perbincangan diadakan berkaitan akademik, penyelidikan dan program mobiliti pelajar dan staf.
“Kerjasama ini bagi menyahut aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam menyediakan graduan universiti dengan gaji premium (premium salary),” katanya pada kenyataan media.
Sementara itu, Dr Roslizawati berkata, delegasi UMK turut berpeluang bertemu dan berbincang dengan Konsulat General Malaysia di Dubai, Education Malaysia Dubai, Pejabat Tourism Malaysia Dubai serta beberapa rakan industri dalam bidang perhotelan dan pelancongan.
Kata beliau juga lawatan kerja itu untuk mencari potensi peluang kepada pelajar FHPK khasnya untuk mengikut International Apprenticeship Programme 2024 dalam tempoh empat hingga 12 bulan di Dubai.
“Beberapa potensi hotel dikenal pasti untuk menempatkan pelajar bagi program tersebut antaranya Sheraton Grand Hotel dan Double Tree Hilton Dubai.
“Insya-Allah, dengan kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang dan ruang kepada staf dan pelajar untuk mengikuti program sedemikian,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/10/2023