Maisa Abdel Hadi ditahan sehingga 29 Okt

Maisa Abdel Hadi (memegang plakad) dalam satu demostrasi pro-Palestin di Haifa, Israel pada 2021. (FOTO: Times Now)
- Advertisement -

NAZARETH: Pelakon Arab-Israel terkenal, Maisa Abd Elhadi ditahan sehingga Ahad, 29 Okt ini selepas ditangkap polis pada Selasa (24 Okt) lalu.

Penahanan pelakon yang pernah membintangi filem Hollywood pecah panggung lakonan utama Brad Pitt, World War Z itu sehingga 29 Okt, bagaimanapun adalah di rumahnya susulan telah dibebaskan pada Rabu (25 Okt) – sehari selepas ditangkap polis kerana didakwa menyatakan sokongan terhadap Hamas yang menyerang Israel pada 7 Okt.

- Advertisement -

Ketika di bawah tahanan rumah sehingga 29 Okt itu, Maisa, 37, juga dilarang menggunakan media sosial sehingga tarikh berkenaan, sementara siasatan terhadapnya akan diteruskan.

Keputusan untuk membebaskannya daripada tahanan penjara dibuat oleh Mahkamah Daerah Nazareth selepas Maisa memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Tiberias yang sebelum itu memutuskan untuk menahannya sehingga Khamis (26 Okt).

Dalam keputusan membenarkan Maisa dibebaskan ke tahanan rumah, Hakim Nazareth, Arafat Taha memetik kepercayaannya bahawa walaupun catatan media sosial aktres itu kedengaran ‘agak keras’, dan boleh mencetuskan kemarahan dan kesedihan rakyat Israel, namun adalah diragui bahawa pelakon Tel Aviv on Fire itu telah melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang dengan menyiarkan di media sosialnya.

Maisa ditangkap selepas dikatakan berkongsi imej Instagram Yaffa Adar, 85, yang dijadikan tebusan oleh Hamas, yang disertakan dengan emoji ketawa. Adar didakwa Israel merupakan  salah seorang daripada 224 tawanan yang dikatakan diculik pejuang Hamas 7 Okt lalu. 

Dalam catatan kedua, Maisa dikatakan berkongsi imej pasukan Hamas yang melanggar sempadan keselamatan Israel, dengan kapsyen berbunyi: “Mari pergi, gaya Berlin”, yang merujuk kepada kejatuhan Tembok Berlin pada 1989. – HARAKAHDAILY 27/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!