PAC panggil Menteri Sumber Manusia 2 November

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar bagi menjawab inkuiri berhubung pengurusan dan kewangan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, Sivakumar akan dipanggil dalam dua lagi prosiding yang diadakan pada 1 dan 2 November ini.

- Advertisement -

“Saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan dan penjelasan prosiding 1 November 2023, Rabu ialah wakil Kementerian Kewangan dalam HRD Corp yang telah dilantik oleh Kementerian Kewangan (MoF).

“Manakala keesokan hari pada 2 November 2023, Khamis, PAC akan mendengar keterangan Menteri Sumber Manusia,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, terdapat media melaporkan bahawa Menteri Sumber Manusia dipanggil pada Isnin sedangkan beliau baru hendak memberitahu bahawa Sivakumar akan dipanggil pada Khamis (2 November).

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak mengambil perhatian mengenai perkara ini kerana jelas melanggar Peraturan Mesyuarat 85.

“Saya berharap media lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dengan mendapatkan berita daripada sumber yang sahih agar tidak memberikan persepsi yang tidak baik kepada umum,” katanya.

Awal hari ini, media melaporKan Sivakumar dipanggil PAC bagi merakamkan keterangan berkaitan pengurusan dan kewangan HRD Corp.

Minggu lalu, Mas Ermieyati berkata jawatankuasa itu akan memulakan prosiding melibatkan program latihan dan pengurusan dana HRD Corp.

Walaupun isu terlibat tidak dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2022, katanya PAC boleh menggunakan kuasanya mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat untuk menjalankan siasatan.

Katanya, PAC juga telah memanggil Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia (KSM), Amran Ahmad, Isnin lalu. – HARAKAHDAILY 26/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!