PENDAHULUAN
Hari ini hari ke-20, perang terbaru HAMAS berdepan negara penjajah Israel.
Korban syahid rakyat Palestin sudah hampir mencecah angka 6,000 orang, sementara yang tercedera pula mencecah lebih 16,000 orang. Pihak Israel pula mengalami sekurang-kurangnya kehilangan 1,400 nyawa dan bilangan yang tercedera sekitar 5,000 orang.
Pada hari Rabu menyaksikan jumlah korban rakyat Palestin paling ramai dalam sehari iaitu lebih 700 orang terdiri daripada orang awam, wanita dan kanak-kanak.
Gaza dihujani bom dan Amerika di pihak Israel tanpa berselindung
Negara Zionis Israel sedang bermaharajalela mengebom rumah kediaman, masjid, gereja, hospital, kem pelarian, sekolah dan apa saja yang masih mampu berdiri di bumi Gaza. Gaza dihujani dengan bom yang sangat lebat.
Nampaknya sehingga saat ini, tidak ada sesiapa pun yang mampu melarang jenayah ganas yang sedang mereka dilakukan secara terang-terangan di depan mata masyarakat antarabangsa, termasuk PBB sendiri.
Kelmarin Usul Amerika yang berat sebelah diveto oleh China dan Rusia. Usul gencatan senjata Rusia pula diveto oleh pembela Israel, Amerika Syarikat.
Tindakan tidak berperikemanusiaan mereka itu pula masih mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat, kali ini 200 peratus. Presiden Amerika turut memberi jaminan kepada Israel untuk menerima bantuan tambahan berbentuk kewangan, peluru, peralatan serta segala keperluan teknikal dan taktikal perang.
Bantuan ketenteraan untuk HAMAS
Daripada segi ketenteraan, HAMAS terpaksa berperang secara solo dengan negara Israel, yang merupakan salah satu daripada 20 buah negara yang memiliki kekuatan pertahanan terkuat di dunia.
Tidak ada bantuan ketenteraan yang diterima secara langsung daripada negara teluk, negara Arab dan negara umat Islam untuk HAMAS dalam perang ini dan perang-perang sebelum ini.
Antara sebab utamanya ialah HAMAS dikategorikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.
Hanya Hizbullah di Lubnan saja yang sanggup membantu untuk turut berperang secara langsung dengan Israel dalam perang ini.
Kemampuan pertahanan HAMAS dipertingkatkan
Bagaimanakah HAMAS mendapat senjata berteknologi tinggi kekal menjadi soalan panas yang berlegar di kalangan penganalisa pertahanan tanpa mendapat jawapan konkrit.
Ini kerana sejak Iraq diserang pada tahun 1990 oleh Amerika Syarikat, Asia Barat sentiasa dirundung konflik peperangan daripada masa ke semasa. Ini menjadikan perniagaan senjata di pasaran gelap amat menguntungkan di rantau tersebut.
Amerika Syarikat sentiasa menuduh Iran sebagai dalang pemerolehan senjata musuh-musuh Amerika di Teluk. Iran sentiasa menafikan. Banyak juga senjata yang digunakan dikesan mempunyai asal-usul teknologi Rusia. Tapi Amerika tidak pernah secara langsung menuduh Rusia sebagai pembekal senjata untuk HAMAS.
Walaupun persoalan ini kita tak mampu jawab, namun kemampuan ketenteraan dan pertahanan HAMAS nyata telah meningkat dengan sangat ketara dalam perang yang sedang berlangsung ini.
Sokongan diplomatik kepada HAMAS
Dalam perang ini HAMAS telah menerima sokongan moral daripada kebanyakan negara umat Islam dan beberapa negara bukan-Islam.
Bahkan sokongan moral yang diterima daripada Rusia, China, Brazil, Colombia adalah lebih hebat daripada sokongan yang diterima daripada beberapa negara umat Islam sendiri.
Ini kerana bukan HAMAS sahaja yang bermusuh dengan Israel. Negara-negara yang bermusuh dengan Amerika Syarikat juga cenderung untuk memusuhi Israel juga kerana Israel adalah ‘anak emas’ yang terlalu ‘keemasan’ bagi Amerika.
Antara negara umat Islam yang sentiasa positif dan proaktif dalam membela HAMAS dan memberikan sokongan moral kepada perjuangan mereka ialah Turki, Qatar dan Iran.
Malaysia pula sentiasa dianggap sahabat yang prihatin oleh semua pihak di Palestin. Nama Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sentiasa meniti di bibir mulut mereka.
Negara Arab lain yang sebelum ini sentiasa skeptikal kepada perjuangan HAMAS, bahkan sebahagian mereka turut mengkategorikan HAMAS sebagai pertubuhan pengganas. Bahkan mereka sudah semakin beransur-ansur memulihkan hubungan diplomatik secara normal dengan Israel.
Tetapi dalam perang ini, Mesir dan Arab Saudi akhirnya sudah mula bersuara untuk rakyat Palestin walaupun mereka sebelum ini tak begitu menyebelahi HAMAS.
Pemimpin negara Arab sudah melihat gelombang luar biasa rakyat mereka sendiri yang mahu isu Palestin dan pembebasan Masjid al-Aqsa turut diangkat menjadi isu mereka bersama. Kemarahan rakyat negara Arab terhadap Israel begitu memuncak pada saat pengeboman yang telah membinasakan 50 peratus kawasan Gaza.
Israel tak boleh lagi dibiarkan bermaharajalela. Membunuh saudara-saudara Muslim dan saudara-saudara Arab sekehendak hati mereka.
HAMAS mengejutkan Dunia Arab dan Dunia Islam
Di sebalik perang yang telah berterusan selama 20 hari ini, hakikat yang perlu diakui ialah HAMAS telah melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh mana-mana negara Arab sebelum ini. Ia mencetuskan Taufan al-Aqsa, serangan ribut taufan demi pembebasan Masjid al-Aqsa.
Ia telah menyerang ke dalam negara haram Israel daripada darat, laut dan udara walaupun tak memiliki sebarang pesawat tempur, kapal selam atau kereta kebal.
Kali pertama sejak sekian lama Israel mula merasa bahang risiko menyerang, menindas dan membunuh rakyat Palestin selama ini. Iaitu negara, prasarana dan rakyat Israel turut terdedah kepada serangan yang menggerunkan daripada lawan mereka yang serba kekurangan.
Baru mereka mula memahami betapa deritanya kehilangan orang tersayang dan betapa peritnya hidup dalam ketakutan.
7 Oktober 2023 adalah bersamaan 22 bulan Rabiul Awwal 1145 Hijriah, namun terasa seperti kita berada pada bulan Syawal atau Bulan Zulhijjah kerana kita bertakbir dan bertakbir lagi membesarkan Allah S.W.T atas kejayaan yang dikurniakan kepada saudara kita di bumi Gaza.
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Wa Lillaahil hamd.
Tidak menunggu Imam Mahdi
Semua sayap ketenteraan kumpulan-kumpulan jihad di Palestin yang bukan terdiri daripada Pasukan Izzuddin al-Qassam semata-mata telah berjuang sedaya upaya mereka menunaikan kewajiban membebaskan negara Palestin yang terjajah dan membebaskan al-Masjidil Aqsa.
Mereka telah berkorban jiwa raga, harta dan perasaan bimbangkan keselamatan keluarga dan orang tercinta.
Mereka sedang bergerak ke gerbang Tel Aviv.
Mereka tidak menunggu kemunculan Imam Mahdi untuk berjihad membebaskan Baitul Maqdis. Walaupun mereka sangat meyakini bahawa Imam Mahdi akan muncul di akhir zaman sebelum kiamat.
Mereka seperti Sultan Salehuddin al-Ayyubi dan Sultan Nuruddin az-Zinki yang bergabung tenaga mencorak gerak kerja untuk membebaskan al-Aqsa sehinggalah al-Aqsa akhirnya dibebaskan di tangan al-Malik al-Adil as-Sultan Salehudfin al-Ayyubi selepas perang Hittin pada tahun 1887 Masihi.
Akhir zaman, hanya diketahui oleh Tuhan Yang Maha Esa. Tetapi sebagai seorang Muslim, sudah cukup untuk kita menjunjung perintah Tuhan Yang Maha Esa agar berjihad mempertahankan tanah suci umat Islam dan saudara-saudara Muslim kita yang teraniaya.
Jika Dunia Arab dan Dunia Islam turut menghantar bantuan ketenteraan di Palestin ketika ini, mungkin juga mereka akan dikurniakan kemenangan seperti Salehuddin al-Ayyubi.
Bukan mustahil lagi pada adatnya untuk mengalahkan Israel setelah lebih 70 tahun bermaharajalela menghirup darah rakyat Palestin. Pasukan Izzuddin al-Qassam yang tidak punyai pesawat tempur canggih pun sudah mampu menggugat pertahanan Israel.
Negara Arab di sekeliling sepatutnya lebih berkemampuan untuk melakukan lebih daripada itu. Namun pedang yang hebat hanya akan menjadi senjata yang hebat di tangan pahlawan yang berjiwa kental, hati berserah bulat kepada Allah S.W.T dan berpantang undur sebelum ajal.
Tapi objektif ini mungkin terlalu tinggi untuk dicapai buat masa ini.
Penutup
Wahai umat Islam! Wahai umat Muhammad S.A.W! Wahai umat Arab!
Objektif terdekat, janganlah biarkan Gaza menjadi kubur besar dengan dua batu nisan gergasi yang kepada 2.3 juta umat Islam Gaza.
Usahakanlah segala kebijakan diplomatik untuk segera menjayakan gencatan senjata menghalang Gaza daripada terus menerus dibedil bertali arus oleh Yahudi Zionis.
Usahakan jalan selamat untuk membolehkan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza. Itulah talian hayat untuk 2.3 juta rakyat Gaza. Mereka diserang dengan senjata ‘mengkebulurkan’ seluruh rakyat Gaza.
Semoga pemimpin-pemimpin umat Islam disatukan hati mereka untuk membantu rakyat Palestin berdepan serangan ganas dan tidak berhati perut negara haram Israel.
USTAZ ZAKARIA ISMAIL
Marang, 26 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 26/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!