WASHINGTON: Penegasan yang dibuat oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bahawa Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa di Gaza dan menggesa gencatan senjata segera telah mencetuskan kemarahan rejim Zionis itu.
Ketua PBB itu membuat rayuan sebelum sesi peringkat tinggi Majlis Keselamatan pada Selasa , dengan Menteri Luar Palestin seterusnya mengecam apa yang disifatkannya sebagai tidak bertindak dalam konflik yang telah membunuh beribu-ribu nyawa di kedua-dua belah pihak, kebanyakannya orang awam.
Ketika membuka sesi itu, Guterres menyatakan amaran terhadap ‘hukuman kolektif’ terhadap rakyat Palestin di Gaza oleh Israel susulan serangan pejuang Hamas pada 7 Okt lalu, yang menyaksikan kira-kira 5,800 rakyat Palestin telah terbunuh di seluruh Semenanjung Gaza dalam pengeboman udara Zionis.
Guterres, yang secara peribadi pergi ke persimpangan antara Mesir dan Gaza dalam usaha untuk memberi bantuan, mengalu-alukan penyeberangan tiga konvoi bantuan setakat ini melalui persimpangan Rafah, lapor The New Arab.
“Namun, ia adalah setitik bantuan dalam lautan yang amat diperlukan penduduk Gaza,” kata Guterres, sambil memberi amaran bahawa bekalan bahan api PBB akan kehabisan dalam tempoh beberapa hari.
“Untuk mengurangkan penderitaan rakyat Gaza, menjadikan penyampaian bantuan lebih mudah dan lebih selamat, dan memudahkan pembebasan tebusan, saya mengulangi rayuan saya untuk gencatan senjata kemanusiaan segera,” tegasnya.
“Saya amat bimbang tentang pencabulan jelas undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang kita saksikan di Gaza.
“Biar saya jelaskan bahawa tiada pihak dalam konflik bersenjata melebihi undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” tambah Guterres pada sesi Majlis Keselamatan, tanpa menamakan Israel secara jelas.
Guterres berkata bahawa rakyat Palestin telah ‘tertakluk kepada 56 tahun penjajahan yang menyesakkan’ memberitahu Majlis Keselamatan: “Adalah penting untuk mengiktiraf serangan oleh Hamas tidak berlaku dalam ruang ‘tanpa sebab’.”
Kenyataan Guterres itu menimbulkan kemarahan Menteri Luar Israel, Eli Cohen yang menuding jarinya ke arah Guterres dan meninggikan suaranya, menceritakan tentang orang awam di Israel yang terbunuh dalam serangan tunggal paling maut dalam sejarah Israel oleh pejuang Hamas pada 7 Okt berkenaan.
“Tuan Setiausaha Agung, di dunia manakah anda tinggal?” soal Cohen.
Sambil menunjukkan bahawa Israel berundur dari Gaza pada 2005, Cohen berkata: “Kami memberi Palestin Gaza sehingga milimeter terakhir. Tidak ada pertikaian mengenai tanah Gaza.”
Israel tidak lama selepas itu mengenakan sekatan ke atas wilayah miskin sejak Hamas mengambil alih kuasa.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Gilad Erdan pula menggesa Guterres meletak jawatan, mendakwa di platform X bahawa Ketua PBB itu telah ‘menyatakan persefahaman untuk keganasan dan pembunuhan’. – HARAKAHDAILY 25/10/2023