AIDA dan Aiman telah lama tidur. Ani keseorangan di ruang tamu rumah kos rendah itu. Hari telah lewat malam. Dia masih menunggu suaminya, Jamal, untuk pulang dari kerja. Sudah seminggu Jamal terpaksa membuat overtime dan pagi tadi mereka suami isteri bergaduh.
“Abang asyik buat overtime, anak-anak di rumah dah merajuk,” Ani mengingatkan Jamal sebelum beliau pergi bekerja.
“Bos abang dah minta abang buat overtime dan kalau abang tak mahu mungkin abang akan dibuang kerja,” Jamal memberi penjelasan.
“Ani pun tahu susah rakyat Malaysia nak dapat kerja sekarang, bos abang lebih suka mengambil orang Nepal atau orang Myanmar,” tambah Jamal.
Ani mendiamkan diri. Dia tahu mereka memerlukan pendapatan tambahan dengan harga barang-barang keperluan harian yang melambung naik. Ani terpaksa bersetuju Jamal membuat overtime kerana tidak mahu anak-anaknya makan ala kadar sahaja. Mereka sedang membesar dan memerlukan makanan yang mencukupi.
Mengalir air mata Ani kerana kesal telah berlaku kasar terhadap suaminya. Dia cuba melupakan peristiwa pagi tadi dengan menyuap bubur nasi yang dimasak untuk anak-anaknya petang tadi. Itu sahaja yang mampu dilakukan kerana harga beras yang mahal. Bubur tidak memerlukan beras yang banyak seperti nasi. Jika tidak mencukupi, tambah sahaja air.
Air mata Ani semakin laju mengenang nasib mereka sekeluarga. Nasib yang sama dikongsi oleh jiran-jiran Ani di kawasan rumah kos rendah itu. Dia teringin untuk mengambil sumbangan beras yang diedarkan oleh YB tapi dilarang oleh Jamal.
“Kita bukan ayam yang boleh diberi dedak, selesaikan masalah harga barang melambung naik dan barang-barang yang disorok oleh tauke-tauke, nak jadi kerajaan tapi tak pandai buat kerja,” kata Jamal yang enggan menerima sumbangan kerajaan.
Ketika jam menunjukkan pukul 1:00 pagi, Ani berasa amat mengantuk dan mengambil keputusan untuk tidur bersama anak-anaknya di dalam bilik.
Tetapi sedang dia nyenyak tidur, Ani dibangunkan oleh bunyi orang sedang makan di ruang tamu. Dalam keadaan mengantuk dan separuh sedar dia membuka pintu bilik. Kelihatan satu tubuh sedang menikmati hidangan makanan di dalam gelap.
Mungkin Jamal hendak menjimatkan elektrik oleh itu tidak menghidupkan lampu fikir Ani. Maklumlah tarif elektrik bukan murah.
“Abang dah balik?,” tanya Ani yang berdiri di pintu bilik menyangka Jamal telah pulang.
“Abang makan dulu ya, Ani penat sangat, nak tidur dengan anak-anak,” kata Ani lagi dan tanpa menunggu jawapan terus masuk ke dalam bilik.
Keesokan harinya Ani bangun awal, sebelum anak-anaknya bangun. Beliau ke ruang tamu dan mendapati kesemua hidangan yang disediakan untuk Jamal telah habis dimakan.
Dia cuba mencari Jamal di bilik tidur mereka tetapi suaminya tidak kelihatan. Di bilik air dan di dapur juga tidak ada.
Akhirnya dia mencari telefon bimbit untuk menelefon Jamal. Terdapat 15 ‘missed call‘ dari suaminya itu. Mungkin kerana terlalu penat sehingga tidak perasan panggilan-panggilan tersebut.
Tetapi alangkah terkejut apabila beliau membaca mesej Jamal, “Sayang malam ini abang tak balik sebab kena ganti kawan yang accident motor“.
Siapa yang habiskan bubur nasi? Siapa yang Ani nampak di ruang tamu?
Penjelasannya esok.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD – HARAKAHDAILY 24/10/2023
Siapa makan bubur nasi?
- Advertisement -