SHAH ALAM: Penubuhan State-Government 4 (SG4) masih mempunyai kerjasama berterusan dengan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, SG4 bertujuan untuk membina kerjasama di peringkat negeri termasuklah mengenai sektor ekonomi.
Menurutnya, kerjasama sebegini juga dilakukan seperti pertubuhan ekonomi berbentuk G7, BRICS dan seumpamanya.
“Namun, kami masih lagi mengadakan kerjasama dengan kerajaan persekutuan secara berterusan,” katanya.
Beliau menyatakan matlamat utama SG4 adalah untuk bekerjasama dalam membentuk ekonomi jenis berdikari (self-sustainable) tetapi masih terbuka untuk menerima sebarang pandangan yang berbeza ideologi politik.
Kata beliau lagi, sekalipun Tan Sri Lim Kit Siang ingin memberikan pandangan dan idea terhadap SG4 juga dibenarkan kerana menegaskan bahawa prinsip pertubuhan ini ialah penambahan nilai (value added).
“Di sini. kami ingin menunjukkan kepada setiap orang awam bahawa perkara sebegini adalah bukan partisan kerana ianya melebihi kepentingan politik semata-mata,” katanya dalam sidang media pada hari kedua Muktamar PAS Ke-69 di IDCC Shah Alam, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor; Menteri Besar Kelantan Dato Panglima Perang Mohd Nassarudin Haji Daud; dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Tambah Ahmad Samsuri, terdapat sesetengah perkara yang memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira sebarang ideologi ekonomi seperti pembangunan ekonomi.
Kata beliau, negara ini tidak akan boleh bergerak ke hadapan jika tidak boleh bekerjasama hanya disebabkan oleh perbezaan ideologi politik.
“Sekiranya kita asyik bercakap mengenai politik selama 24 jam 7 hari tanpa henti maka negeri ini tidak akan langsung boleh bergerak ke hadapan,
“Jadi, penting untuk kita fahami bahawa perkara ini adalah melebihi ideologi politik itu sendiri kerana kita fokus kepada penambahan nilai (value added) menjadi matlamat utama,” ujarnya.
Apabila ditanya sama ada hanya pelaburan patuh syariah sahaja yang diterima dalam SG4, beliau mengesahkan perkara tersebut adalah benar.
“Hanya pelaburan yang patuh syariah sahaja yang dibenarkan dalam pembangunan negeri-negeri SG4,” katanya.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!