Kekuatan parti komponen faktor letakkan calon

Ustaz Sallehen Mukhyi
- Advertisement -

SHAH ALAM: Faktor penentu parti komponen mana yang akan meletakkan calon tidak seharusnya hanya dilihat pada kekuatan bakal calon semata-mata, namun harus dilihat pada ketersediaan dan kekuatan jentera sesuatu parti itu.

Pembahas PAS Negeri Selangor dalam Muktamar PAS Ke- 69, Ustaz Sallehen Mukhyi berkata, ini bagi memastikan sesuatu kerusi yang berpotensi tidak terlepas kepada parti lawan akibat kelemahan jentera.

- Advertisement -

Menurut beliau, perbincangan yang teliti harus dibuat jauh lebih awal oleh pimpinan yang terlibat agar persediaan dapat dilakukan lebih awal.

“Bila kita menyebut soal muhasabah pilihan raya untuk kita bukan sahaja bercakap dalam soal keputusan yang kita capai, tetapi mesti melihat daripada seluruh persediaan. 

“Persediaan calon; persediaan jentera; hubungan baik kita dalam ‘coalition’ kita; dalam Perikatan Nasional, semua ini mesti diambil kira,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Sesi Perbahasan Ucapan Terima Kasih Ucapan Dasar Presiden PAS yang berlangsung di IDCC, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak menambah, perbincangan harus betul-betul menilai soal kebolehmenangani sebagai peratus paling tinggi yang perlu diambilkira dan harus dilakukan lebih awal.

“Sebab itu dalam perbincangan ini, saya harap perbincangan ini jangan dilakukan bila dah dekat dengan pilihan raya. Sekarang perlu ditubuhkan pasukan. 

“Bukan sekadar bincang soal siapa nak bertanding di kerusi ini, siapa nak bertanding di kerusi itu. 

“Tetapi bincang sekarang untuk menentukan, menilai tentang kekuatan, tentang bantuan kekuatan yang mesti diberikan kepada satu-satu DUN,” ujarnya.

Kata Ustaz Sallehen lagi, amat perlu untuk diwujudkan satu panduan, banchmark atau piawaian sehingga melayakkan satu-satu parti akan bertanding di tempat itu.

“Kita tak nak  hanya meletakkan calon sedangkan jentera mereka tidak ada. Sebab soal calon ni bukan soal main-main,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!