BAITULMAQDIS: Israel pada hari ini, Sabtu (21 Okt) mengeluarkan notis amaran menggesa rakyatnya supaya segera meninggalkan Mesir dan Jordan, ketika ketegangan serantau memuncak berhubung perang di Gaza.
Majlis keselamatan negara Israel dalam kenyataan itu berkata, ia telah menaikkan amaran perjalanan rakyatnya untuk Mesir (termasuk Sinai) dan Jordan ke tahap 4 (ancaman tinggi); dengan saranan untuk tidak pergi ke negara-negara tersebut, dan bagi mereka yang tinggal di sana untuk meninggalkannya… secepat mungkin.
Notis itu dibuat hanya beberapa hari selepas Israel memanggil semula diplomatnya dari Turkiye sebagai langkah berjaga-jaga atas aspek keselamatan berikutan permintaan awal agar rakyatnya juga meninggalkan negara Islam itu.
Panggilan pemindahan dibuat selepas beberapa hari protes di seluruh Timur Tengah berhubung pengeboman Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lalu.
Israel yang berikrar untuk memusnahkan Hamas, dan kempen pengeboman yang dilancarkan sebagai tindak balas telah meratakan seluruh blok bandar di Gaza, setakat ini menurut Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan 4,137 rakyat Palestin terkorban, dan 13,163 yang lain cedera dengan kebanyakannya orang awam. – HARAKAHDAILY 21/10/2023