SHAH ALAM: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, ‘Generasi Sejahtera, Mengisi Kemenangan’ merupakan tema yang dipilih pada muktamar dewan itu ke-64 kali ini.
Menurutnya, tema itu juga adalah suatu seruan Dewan Pemuda PAS Malaysia kepada ahli Pemuda di seluruh negara agar menginsafi suatu hakikat bahawa kejayaan besar yang dikurniakan Allah SWT hadir dengan tanggungjawab dan amanah yang sangat besar.
Katanya, kemenangan itu perlu diisi dengan penuh rasa tawaduk dan rasa kehambaan.
Tambahnya, kemenangan yang dikurniakan tidak boleh dijadikan modal untuk meraih laba bagi kepentingan diri, sebaliknya dijadikan sebagai peluang beramal.
Beliau berkata, pelbagai perancangan perlu disusun mengikut hala tuju strategik yang telah rangka di peringkat pucuk pimpinan parti.
“Dan perancangan ini haruslah dilaksanakan dengan cermat dan teliti bagi mengisi kemenangan,” ujarnya semasa menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-64 di IDCC di sini, malam ini.
Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut hadir ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.
Menurutnya lagi, anak muda yang telah memilih PAS dalam siri-siri pilihan raya dalam tempoh setahun yang lalu, sudah tentu mahu melihat parti itu memberikan prestasi yang terbaik dalam mentadbir.
Tambahnya, tempoh empat tahun yang akan datang merupakan suatu tempoh yang akan menjadi neraca cerminan kepada kemampuan PAS untuk mentadbir Malaysia bagi memenuhi aspirasi langit dan bumi selari dengan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS2051).
“Kepimpinan yang dipilih oleh rakyat serta amilin yang terdiri daripada pemuda-pemuda dalam mendukung kekuatan kepimpinan sewajarnya menjadi sebuah generasi yang dicontohi masyarakat,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!