X-to-Reef ubah paip minyak Petronas jadi tukun

- Advertisement -

MARANG: Program X-to-Reef yang pertama di Malaysia memanfaatkan paip minyak milik Petronas yang hendak dilupuskan diubahsuai sebagai tukun bagi membiak hidupan marin.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata teknologi yang digunakan itu mengambil pengalaman Nippon Steel-Kobelco (NSK) Jepun yang sudah lama membuat tukun khususnya untuk spesis hidupan marin sotong dan udang kara.

“Hari ini kita ada enam tukun yang akan dilabuhkan iaitu tiga tukun untuk sotong dan tiga tukun lobster dan baki 4 akan dilabuhkan di negeri lain.

“Kesemua ada 10 tukun sumbangan daripada Syarikat Sumitomo Corporation melalui SC Tubular Solutions Malaysia Sdn Bhd (SCTSM) dan Petronas.

“Jadi dari pihak kerajaan negeri saya merakamkan penghargaan setinggi-tinggi terima kasih dan sangat menghargai semua usaha untuk memperkayakan sumber hasil laut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program X-To-Reef di perairan Pulau Kapas bertempat di jeti pelancongan Marang di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat.

Dr Azman juga berkata, dua hari lepas pihaknya melabuhkan 43 tukun kuboid penghalang pukat tunda di perairan Kuala Terengganu, Batu Rakit dan Setiu.

“Untuk tahun ini selesai program melabuhkan tukun dengan fungsi peranti untuk memperkayakan sumber perikanan dan dalam masa sama membentuk zon penampan bagi aktiviti pukat tunda.

“Jadi dengan adanya inisiatif X-to-Reef kita melangkah selangkah lagi ke hadapan dalam siri program memperkayakan sumber perikanan,” katanya.

Menurut beliau, peratusan peningkatan bagi penangkapan hidupan laut menunjukkan peningkatan 9.9 peratus berbanding tahun lepas dan peningkatan 70 peratus disumbang oleh nelayan zon A dan B.

“Sebab itu kita fokus kepada program-program memperkayakan sumber perikanan untuk zon A dan B. Tambahan pula nelayan berada dalam kelompok B40.

“Saya juga mendapat maklum balas harga ikan sudah turun, ikan Selayang 3 kilogram RM10 sekarang. Ini suatu yang tidak pernah berlaku untuk satu tempoh yang agak lama dalam konteks Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!