KUALA LUMPUR: Syahir Sulaiman merakamkan solidariti seluruh warga Bachok tanpa mengira tua muda, kaya atau miskin terhadap perjuangan warga Palestin khususnya di wilayah Gaza yang terkepung.
Katanya, perjuangan warga Palestin menuntut kemerdekaan, menentang penindasan, pembunuhan dan penyisihan (apartheid) serta perjuangan menuntut hak untuk hidup di tanah air sendiri.
“Meskipun berjauhan dari sudut jarak dan senggang waktu, kami di Bachok khususnya dan Malaysia amnya, sentiasa mengikuti perkembangan kalian setiap minit dan jam, malah tidak putus-putus mengirimkan doa, solat hajat, qunut nazilah, juga sumbangan wang ringgit, di samping penerangan dan kesedaran kepada anak-anak kami tentang kemuliaan Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa, serta kehebatan perjuangan kalian yang didasari dengan keimanan dan pengorbanan yang tinggi,” ujarnya selaku Ahli Parlimen Bachok semasa membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga menyeru umat Islam di Palestin supaya jangan berputus asa menentang kezaliman.
Tambahnya, setiap kezaliman pasti akan dikalahkan dan penindasan pasti akan ditewaskan manakala stiap kepungan pasti akan dirobohkan.
“Semoga Allah memberikan pertolongan (nusrah) kepada kalian, bagi mencapai kemenangan yang dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah, insya-Allah.
“Dalam hal ini, Bachok menyeru kita di Malaysia menginsafi nasib yang menimpa saudara-saudara kita Palestin, serta perjuangan panjang mereka menentang kezaliman, penindasan, dan penyisihan, supaya kita kekal mendukung prinsip keadilan, kesaksamaan, dan kemerdekaan, yang wajar dipelihara dan dinikmati oleh setiap anak watan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!