Rakyat berhak tahu pencapaian Belanjawan 2023 

Ahmad Fauzi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berhak mengetahui dan diberi penjelasan mengenai apakah sasaran yang telah dicapai dalam Belanjawan 2023.

Penganalisis Sosio-Ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa berkata, pihak kerajaan  seharusnya membentangkan pencapaian atau agenda yang telah direalisasikan bagi setiap belanjawan yang dibentangkan saban tahun. 

- Advertisement -

“Sebagai contoh, secara umumnya rakyat juga berhak mengetahui apakah sasaran yang telah dicapai dalam Belanjawan 2023. 

“Barulah rakyat nampak (faham), merasai dan menikmati apa yang dibelanjakan dalam belanjawan berkenaan,” katanya kepada HarakahDaily

Beliau berkata demikian mengulas pembentangan Belanjawan 2024 kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 13 Oktober lalu yang menurutnya, ia dilihat sebagai langkah mengangkat darjat hidup rakyat dan pemulihan ekonomi negara yang lebih drastik.

Sehubungan itu, Ahmad Fauzi berkata, beliau mengalu-alukan langkah meningkatkan taraf hidup rakyat tetapi pada masa sama, kerajaan madani perlu benar-benar memastikan setiap peruntukan belanjawan akan digunakan mengikut apa yang diumumkan dan sampai ke akar umbinya.

“Sebagai contoh, kadar maksimum bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan RM3,700 berbanding RM3,100 iaitu RM600 penambahan STR yang memberi manfaat kepada 9 juta penerima. 

“Justeru, persoalannya di sini, adakah kerajaan akan membuat susulan ke atas impak pemberian STR ini? 

“Bagaimana pula kehidupan penerima STR selepas menerima bantuan-bantuan sedemikian?” hujah beliau.

Menurutnya lagi, perkara ini seharusnya dikaji secara mendalam supaya setiap peruntukan yang diberikan itu dapat memberi kesan yang membantu kepada semua pihak.

Beliau turut memberitahu bahawa, pada masa kini Malaysia sudah tidak rela dihempaskan dengan hutang yang bertambah-tambah sehingga mencecah RM1.080 trilion, walaupun Ketua Audit Negara mengatakan soal itu tidak boleh dielak dan peningkatan itu tidak membimbangkan.

“Ini adalah satu perkara besar kerana setiap elemen yang dikatakan tidak membimbangkan walaupun rakyat menyedari paras siling hutang negara masih selamat, tetapi jika dilihat dalam setiap Laporan Ketua Audit Negara, setiap apa yang dibentangkan itu didedahkan masih berlaku ketidakpatuhan dalam pengurusan kewangan agensi kerajaan.

“Didapati beratus juta ringgit dikesan dan menyebabkan kehilangan hasil, pembayaran dan pengurusan tidak teratur dan rakyat tertanya-tanya apakah benar usaha-usaha untuk mengangkat darjat hidup rakyat dan ekonomi negara berada di landasan yang betul?” ujarnya.

Siapkah sebenarnya golongan T20?

Sehubungan itu, Ahmad Fauzi turut menyokong usaha yang dilakukan kerajaan dalam merasionalisasikan subsidi secara bersasar. 

“Hasil kajian menunjukkan langkah drastik lagi berani ini akan menamatkan sebahagian besar ketirisan dan penyelewengan terhadap ekonomi negara.

“Namun begitu, soalnya pada sekarang ialah kerajaan perlu mendefinisikan semula siapakah sebenarnya golongan T20 ini?

“Adakah golongan T20 ini perlu diukur dari segi penggajian individu atau bersama isi rumah lain?” soal beliau.

Tambahnya, ada kalanya rakyat kalau digabungkan bersama isi rumah, jumlah penggajian mereka mencecah RM30,000 sebulan. 

“Adakah ia dianggap sebagai T20 sedangkan mereka ini kakitangan kerajaan atau mempunyai dua atau tiga gerai yang diusahakan itu?” soalnya lagi.

Beliau menegaskan, apa yang penting dalam setiap belanjawan yang dibentangkan itu perlu menguntungkan rakyat dan menepati kepada golongan sasaran. 

Isu birokrasi PTPTN

Selain daripada itu, Ahmad Fauzi  turut membangkitkan perkara teras iaitu sistem penyampaian itu sangat penting dan sampai dengan kadar segera kepada orang awam. 

“Sebagai contoh, pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

“Ramai yang membuat pinjaman tetapi apabila waktu untuk mendaftar berlaku birokrasi yang menyebabkan keluarga dan anak-anak yang ditawarkan ke universiti berasa tawar hati dan ada yang enggan meneruskan pembelajaran mereka,” kongsinya.

Justeru, beliau mengalu-alukan jika kerajaan lebih cakna agar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) atau Universiti Awam meletakkan paras yang tidak membimbangkan iaitu yuran pendaftaran awam dihadkan kepada RM1,500 untuk pelajar yang baru hendak mendaftar pengajian.

“Sewajarnya pihak kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam. Sementara, RM300 juta diperuntukan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana IPT,” ujarnya.

Petugas khas perlu diwujudkan

Beliau turut menyokong pemberian RM5 juta bagi melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti serta RM50 juta bagi sektor perolehan untuk menyediakan peralatan di empat universiti teknikal. 

Walau bagaimanapun, Ahmad Fauzi turut mencadangkan agar petugas khas diwujudkan bagi mengendalikan projek belanjawan dalam Kementerian Kewangan. 

“Petugas khas ini akan memantau setiap bantuan, peruntukan dan imbuhan dapat disiapkan dalam laporan berkala tanpa perlu menunggu Laporan Audit Negara Negara,” jelasnya.

Justeru, beliau turut mengharapkan peningkatan darjat hidup rakyat pada masa kini lebih holistik. 

“Pihak kerajaan pula perlu lebih cakna tanpa adanya unsur-unsur salah tadbir-urus, penyelewengan, ketirisan, rasuan dan suapan, nepotisme dan kronisme serta tidak berlaku ketidakpatuhan dalam pengurusan kewangan kerajaan yang akhirnya berlaku kehilangan hasil yang terlampau besar saban tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!