Israel bom rumah penduduk di Gaza, 70 korban baharu

Seorang wanita Palestin tidak dapat menahan kesedihan selepas serangan udara Israel ke atas kem pelarian di Rafah, selatan Gaza. (FOTO AFP/Said Khatib)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Lebih 70 orang terbunuh di kediaman mereka selepas Israel melakukan serangan udara terbaharu ke atas Khan Younis, Rafah dan Deir el-Balah di selatan Gaza.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam kenyataannya pada hari ini, Selasa (17 Okt) berkata, kematian itu berlaku semalaman pada hari ini, kira-kira 10 hari selepas Israel memulakan tindakan balas terhadap serangan maut ke atas Israel selatan oleh Hamas, kumpulan bersenjata yang memerintah Gaza.

- Advertisement -

Keganasan tentera Zionis laknatullah  itu telah membunuh lebih daripada 2,800 rakyat Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Ramai daripada mereka yang terbunuh dalam serbuan udara terbaharu Israel adalah mereka yang dipindahkan dari Kota Gaza dan bahagian utara Semenanjung Gaza seperti yang diarahkan oleh Israel, lapor wartawan Safwat Kahlout dari Al Jazeera dari Gaza.

“Ambulans sedang mengangkut mangsa yang cedera ke hospital yang sudah sesak, dan kami diberitahu bahawa ramai orang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan yang disasarkan, menunggu penyelamatan,” ujarnya.

Menyasarkan kanak-kanak

Berdiri di hadapan Hospital Nasser di Khan Younis, seorang pekerja Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, yang memegang mayat bayi dalam pelukannya, memberitahu Al Jazeera: “Israel menyasarkan kanak-kanak.”

Seorang lagi mangsa memberitahu Al Jazeera bahawa seluruh kejiranannya telah musnah.

“Kami semua tidur dan bangun (pada awal pagi sebelum subuh hari ini/Selasa)untuk solat. Sejurus selepas itu, rumah kami dengan 40 orang di dalamnya, tua dan muda, dibom.

“Tiba-tiba seluruh kawasan kejiranan hancur. Adegan yang saya saksikan tidak dapat digambarkan, dengan mayat di sekeliling saya,” katanya.

Sementara itu, Israel sedang bersedia untuk serangan darat ke atas Gaza. – HARAKAHDAILY 17/10/2023

- Advertisement -