KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menggunakan Dinar sebagai mata wang perdagangan antarabangsa, selain de-dollarization, iaitu mengurangkan kebergantungan Ringgit Malaysia kepada Dolar Amerika Syarikat (AS).
Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan hasrat itu.
Katanya, cadangan itu pernah diutarakan ketika Ahli Parlimen Tambun memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tahun 1990-an.
“Bagi saya ini merupakan idea yang sangat baik, de-dollarization, sebab kita ada masalah dengan Amerika Syarikat begitu lama, dahulu pernah ada cadangan untuk menggunakan Dinar.
“Namun, mendapat tentangan amat besar, adakah Tambun melihat ini idea yang akan mendapat tentangan terutama negara yang menggunakan Dolar AS,” katanya mengemukakan soalan tambahan ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu Anwar berkata, kerajaan akan meneruskan idea tersebut kerana penggunaan Dinar atau emas tidak akan merugikan mana-mana negara terlibat.
Malah, katanya usaha itu akan memperkukuhkan kekuatan domestik ekonomi negara lain temasuk negara Islam yang sudah sinonim dengan penggunaan mata wang tesebut.
“Tetapi sejak usaha pada tahun 90-an, sambutan serius itu belum ada dan perbincangan diteruskan. Ini antara tajuk yang akan kita rujuk semula dalam pertemuan mengenai ekonomi dan kewangan Islam.
“Pertemuan ini akan diadakan di Kuala Lumpur pada Disember depan, iaitu mahu memulakan walaupun dalam keadaan terbatas terutama dengan negara seperti China,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!