KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lalu, menimbulkan kesangsian adakah ia mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang meningkat sekarang ini.
Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berkata demikian mengulas pembentangan belanjawan dilaksanakan oleh Anwar tersebut sambil menambah ia tidak lebih daripada sekadar ‘bajet untuk memenangi hati’ rakyat di negara ini.
“Hal ini adalah supaya rakyat berasa gembira dalam keadaan mereka pada masa kini terhimpit akibat kos sara hidup yang kian meningkat.
“Namun, cadangan-cadangan belanjawan yang dibentangkan itu (sebenarnya) perlu diteliti dengan lebih mendalam,” katanya kepada HarakahDaily.
Tambah beliau, pembentangan belanjawan 2024 seharusnya perlu mendapat pandangan daripada pakar ekonomi demi meningkatkan pendapatan negara.
“Perdana Menteri ada mengumumkan untuk menambahkan cukai. Namun begitu, ia bukan satu-satunya cara bagi menambahkan pendapatan negara.
“Antaranya yang melibatkan cukai perkhidmatan. Contohnya, cukai dalam sektor perkhidmatan logistik yang dinaikkan secara langsung akan memberi kesan pada kos perkhidmatan. Kos akan meningkat dan seterusnya, yang akan menerima beban ini adalah ‘end user’ iaitu pengguna (rakyat),” jelasnya.
Wan Martina berkata: “Apa yang kita ingin tahu ialah apakah formula dari kerajaan terutama untuk mengatasi masalah kos sara hidup dan keterjaminan makanan.
“Dari pembentangan belanjawan itu, kita masih sangsi kos sara hidup rakyat akan dapat dikurangkan
“Subsidi bersasar perlu diambil kira ke atas semua pembayar cukai terutama dalam kalangan M40, T20 yang turut akan merasai beban peningkatan kos sara hidup.” – HARAKAHDAILY 17/10/2023