KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tiada peruntukan khusus untuk menangani bencana besar.
Katanya, sumber peruntukan untuk bantuan bencana masih lagi menggunakan peruntukan pembangunan sedia ada dalam tahun semasa.
Oleh yang demikian, jelasnya bantuan hanya dapat diberikan kepada mangsa bencana yang berskala kecil sahaja dan penerima bantuan masih tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Kementerian juga akan memastikan keutamaan bantuan untuk mangsa yang terkesan dan memantau proses pelaksanaan secara berterusan,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Dr Abd Ghani Ahmad [PN-Jerlun] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dr. Abd Ghani dalam soalannya meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan langkah segera dan strategi yang berkesan dalam membantu mangsa yang ditimpa musibah ribut taufan dan angin kuat yang merosakkan rumah kediaman agar rumah kediaman mereka dibaikpulih dalam tempoh yang singkat.
Menurut KKDW, pihaknya turut responsif terhadap mangsa bencana yang memerlukan bantuan segera khususnya daripada kumpulan sasar miskin tegar dan miskin.
Kementerian, ujarnya akan mengadakan penyelarasan dengan agensi kerajaan yang lain seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU, JPM), NADMA dan Pejabat Daerah / Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB) bagi sebarang bantuan kepada mangsa bencana khususnya berkaitan pembinaan dan pembaikan rumah.
Katanya lagi, pejabat KKDW negeri dan agensi-agensi di bawah kementerian turut digerakkan ke lapangan untuk membuat penilaian awal impak bencana. – HARAKAHDAILY 16/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!