KUALA LUMPUR: Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung penggantungan operasi oleh pengurusan dan pemegang saham MYAirline Sdn Bhd (MYAirline).
Beliau ingin tahu bagaimana syarikat penerbangan tambang murah berkenaan boleh menghadapi tekanan kewangan yang ketara sehingga terpaksa menggantung operasi agar dapat melaksanakan penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.
“Syarikat MYAirline telah menjual tiket penerbangan sehingga Mac tahun depan yang dianggarkan akan memberikan kerugian sebanyak RM20 juta jika tidak diganti.
“Usul ini berkehendak disegerakan memandangkan ia melibatkan imej baik negara sebagai destinasi pelancongan dunia, lebih-lebih lagi tiket penerbangan paling awal juga telah dijual kepada penumpang antarabangsa yang ingin ke Malaysia bagi tujuan pelancongan,” katanya ketika mengemukakan usul itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, usul ini juga berkehendak disegerakan kerana seramai 125,000 penumpang telah terkesan dan menantikan bayaran balik dari MYAirline.
“Usul ini juga melibatkan kepentingan orang ramai kerana penggantungan operasi tanpa notis yang dilakukan oleh MYAirline yang bukan sahaja menjejaskan 125,000 penumpang, namun, perlu kita lihat yang dalam jumlah ini ada pelancong dari dalam dan luar negara.
“Penumpang domestik yang telah membeli tiket kapal terbang untuk ke destinasi domestik dan juga pelanggan tetap yang menggunakan khidmat MYAirline secara konsisten bagi bergerak dari satu destinasi kepada destinasi yang lain,” katanya lagi.
Sementara itu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan usul isu syarikat penerbangan MYAirline dirunding di Kamar Khas kerana memenuhi tiga syarat.
“Saya telah menerima satu pemberitahuan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) oleh Yang Berhormat Jerantut pada Jumaat, 13 Oktober 2023. Teks usul itu adalah seperti yang dibacakan oleh Yang Berhormat Jerantut, sebentar tadi.
“Bagi membolehkan perkara ini dipertimbangkan oleh majlis mesyuarat, saya sebagai Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat.
“Syarat pertama ialah bahawa perkara itu tertentu, syarat kedua ialah bagi kepentingan orang ramai dan syarat ketiga ialah berkehendak disegerakan.
“Oleh yang demikian, saya membenarkan usul ini untuk dirunding pada hari ini di Kamar Khas pada jam 2.30 petang hari ini, terima kasih,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!