KUALA LUMPUR: “Saya ingin menyampaikan salam daripada keluarga saya di Gaza, yang baru beberapa hari yang lepas, selamat daripada bom yang dilepaskan zionis Israel ke arah masjid yang berhadapan dengan rumah kami.”
Itu perkongsian terbaharu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia yang juga Pengerusi Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri yang merupakan individu terakhir berucap pada himpunan Solidariti Rakyat Malaysia Demi Palestin di pekarangan Masjid Negara, di sini, hari ini.
Dalam nada sebak, beliau berkongsi kisah keluarganya di sana yang hampir terbunuh oleh serangan tentera Israel laknatullah.
“Isteri saya dan anak-anak aya selamat dan dikeluarkan daripada rumah kami yang roboh, didukung oleh pemuda-pemuda termasuk bayi saya yang berusia satu tahun setengah”
“Mereka keluar dari rumah, melihat mayat-mayat bergelimpangan di jalan raya, dan daging berkecai tangan-tangan yang putus, dan dalam kejadian tersebut 11 orang telah mati syahid.”
“Saya bertanya kepada isteri saya, adakah kamu mahu aku pulang di bumi Gaza ketika ini untuk bersama dengan engkau dan pertahankan engkau?
“Kemudian isteri saya menjawab kepada saya: “Jika kau pulang ke sini (Gaza), engkau dapat mempertahankan lapan batang tubuh ahli keluargamu, tetapi sekiranya engkau berada di Malaysia, maka khidmat engkau untuk memberikan kefahaman dan membangkitkan semangat anak-anak muda bagi menggerakkan solidariti daripada rakyat Malaysia, yang terkenal dengan kecintaan mereka kepada orang Palestin, (maka itu) akan lebih berkesan. Maka tinggalkan kamu di bumi Malaysia, maafkan diatas segala dosa-dosa,” kongsi Nadir dalam nada yang sangat sebak. – HARAKAHDAILY 13/10/2023