Kelantan sedia 456 pusat pemindahan sementara

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyediakan sebanyak 456 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh jajahan yang mampu menampung kira-kira 191,000 mangsa banjir.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, PPS berkenaan sebagai persiapan bagi menghadapi musim tengkujuh akhir tahun ini.

Katanya, penyediaan PPS sebagai persediaan awal untuk menampung perpindahan mangsa banjir yang sering berlaku saban tahun.

Menurutnya, persiapan lain juga turut dilakukan termasuk menyedia barangan keperluan asas untuk mangsa banjir bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Selain itu, pelbagai bantuan dan skim bencana disediakan oleh kerajaan melalui Tabung Serambi Mekah dan bantuan bencana alam berbentuk kewangan, baik pulih serta bina rumah baru,” katanya selepas Majlis Penutupan Latihan Kesiapsiagaan Sukarelawan Menghadapi Bencana 2023 di Meranti di sini semalam.

Lebih 200 peserta mengikuti program yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Tambah beliau, persiapan bagi menghadapi bencana perlu dilakukan secara berterusan dan dikemas kini bagi mewujudkan ekosistem pengurusan yang terbaik.

Adun Meranti itu juga berkata, setiap petugas bencana seharusnya membuat persediaan rapi dari segi fizikal mental dan emosi sebelum melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir.

“Menyelamat dan membantu mangsa bencana merupakan tugas yang mulia tetapi turut memberi kesan ke atas psikologi mereka yang terlibat kerana turut berhadapan situasi sukar sehingga mengancam nyawa,” katanya.

Kerana itu, kata beliau kemahiran diri serta ilmu perlu didalami seperti kemahiran asas, kursus dan latihan supaya lebih berdaya tahan ketika menghadapi sebarang musibah.

Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri Rohani Ibrahim dan wakil-wakil rakyat Parlimen Pasir Mas dan Rantau Panjang. – HARAKAHDAILY 13/10/2023