Kedah cuba ‘dikambinghitam’ isu bekalan beras

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sekali lagi kerajaan Kedah cuba dikambing hitam apabila mengaitkan sebuah agensi kerajaan negeri dengan kegiatan penipuan bekalan beras.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dakwaan itu tidak jelas serta ‘tergantung’ sehingga dijadikan spekulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk media tempatan.

Sehubungan itu beliau menjelaskan kronologi berkaitan perjanjian pembekalan beras yang bernilai RM100 juta pada sidang media di Wisma Darul Aman, semalam.

Kronologi isu bekalan beras

2 Mac 2016:

Perjanjian antara Contract Manufacturing And Supply Agreement’ ditandatangani bersama Syarikat Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) pada 2 Mac 2016.

Perjanjian itu diwakili Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KAHB, Dato’ Ahmad Zaini Japar serta disaksikan Mohd Syaiful Izwan Muhamad Suwarno bersama Syarikat Prolink Marketing Sdn Bhd (Prolink) yang diwakili Puvendran Chandran dan Kuganeswaran Chandran.

Projek tersebut melibatkan pemasaran beras keluaran KAHB, tiga jenis beras iaitu Beras Agro Super Special Tempatan, Beras Agro Super Spesial Import dan Beras Agro Sona Mahsuri dalam pek berkapasiti 5 dan 10 kilogram dengan nilaian RM102,480,000 (28,800 metrik tan).

Perjanjian berkenaan adalah kontrak bagi perniagaan beras di mana Prolink membekalkan beras kepada KAHB, manakala KAHB pula menjualkannya kepada Syarikat Central Regional Distribution Center Sdn Bhd (CRDC).

Dalam pada itu tiada sebarang perjanjian atau kontrak yang mengikat di antara KAHB dan CRDC.

Nilai jualan

Transaksi jualan dan belian telah bermula pada November 2016 sehingga November 2017 (setahun) dengan jumlah transaksi keseluruhan seperti berikut.

Jualan Prolink kepada KAHB berjumlah RM54,085,750 manakala jualan KAHB kepada CRDC pula bernilai RM54,900,030 di mana melibatkan jumlah margin (komisen) sebanyak RM814,280.

Sehingga Februari 2018, KAHB telah menerima sebanyak RM11,066,400 sebagai bayaran dari pihak CRDC.

Sementara KAHB pula melunaskan bayaran kepada Prolink sebanyak RM10,785,000 dengan margin keuntungan berjumlah RM281,400.

Dalam pada itu baki bayaran yang belum terima daripada pihak CRDC serta belum dibayar kepada pihak Prolink oleh KAHB melibatkan pemiutang (Prolink) sebanyak RM43,833,630 dan penghutang (CRDC) berjumlah RM43,300,750 melibatkan margin RM532,880.

Laporan Audit Negara

Pada mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara Bil. 1 Tahun 2019 yang diadakan pada 17 Januari 2019 di Cyberjaya, Ketua Pegawai Eksekutif memaklumkan bahawa semua urus niaga pemasaran beras dihentikan (rujukan: AUDIT(S)/ BSA/147/535/5 JLD 18 (12) bertarikh 25 Februari 2019).

Atas nasihat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara (JTLKAN) Bil. 1 Tahun 2019, laporan polis dibuat oleh pihak Kedah Agro melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkifli Ahmad Rashidi pada 13 Mac 2019.

Berikutan laporan berkenaan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bahagian Kawalselia Padi dan Beras MOA juga membuat siasatan dan memanggil pegawai-pegawai yang berkenaan untuk dirakamkan kenyataan.

Berikutan itu pihak Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah juga melakukan Audit Khas pada 18 April 2019 berhubung isu pemasaran beras agro.

Rentetan itu Kedah Agro telah menerima surat yang ditandatangani oleh para pengarah Prolink berserta Resolusi Pengarah Prolink yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat tersebut bertarikh 24 Januari 2019.

Resolusi itu adalah berkenaan perakuan pembatalan invois berjumlah RM43,300,750 yang dikemukakan oleh Prolink kepada Kedah Agro berkaitan transaksi pembekalan beras yang berakhir Disember 2016 sehingga Disember 2017.

Hapus kira

Lembaga Pengarah bersetuju untuk menghapus kira amaun yang tertunggak dari transaksi jualan dan belian beras bagi tempoh setahun (1 Disember 2016 sehingga 31 Disember 2017) seperti yang dikemukakan.

Perkara ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (No. 2/ 2019) pada 27 Mei 2019 setelah menjelaskan implikasi ke atas kedudukan kewangan syarikat bagi transaksi tersebut.

Seterusnya pada 10 Februari 2020 melalui Mesyuarat Tindakan Bagi Paparan Susulan Laporan Ketua Audit Negara (AG’s Dashboard) Bilangan 1 Tahun 2020, Projek Pemasaran Beras Agro dimaklumkan sudah tidak dilaksanakan.

Keputusan berkenaan diambil berikutan kes tersebut telah diambi lalih oleh SPRM.

Manakala pada 24 Disember 2019, melalui mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, dimaklumkan siasatan SPRM telah selesai dan fail kes dihantar ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

Sementara pada 11 Oktober 2021, Kedah Agro menerima makluman isu audit yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 berstatus ‘SELESAI’ (hijau). – HARAKAHDAILY 12/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!