Adakah akan hantar nota bantahan atau diam saja?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kehadiran kapal perang Amerika Syarikat (AS) untuk memberi bantuan kepada Israel yang menyerang penduduk Palestin di Gaza menyebabkan Zakri Hassan (PN-Kangar) meminta kerajaan menyuarakan pendirian berhubung keadaan genting itu.

“Tahniah kerana komitmen kerajaan membantu rakyat Palestin, cuma saya nak twist sikit, perang terus berlangsung dan memandangkan AS sudah mula mengerakkan kapal perangnya.

- Advertisement -

“Jadi apakah pendirian kerajaan Malaysia terhadap situasi ini dan adakah kerajaan akan menghantar nota bantahan kepada AS atau pun kerajaan akan diam begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Luar Negeri, Dato Seri Zambry Abdul Kadir di Dewan Rakyat, hari ini.

Zambry berkata, ini bukan kali pertama, malah Malaysia antara negara yang berterusan menyatakan pendirian dokongan terhadap keadaan dan penderitaan rakyat Palestin.

Bahkan katanya, negara sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan secara rasmi bagi menyatakan bantahan terhadap sebarang tindakan yang mengeruhkan lagi suasana.

Menurutnya, melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) negara mencadangkan agar bertindak secara bersama berbanding tindakan keseorangan atau sebuah negara tidak menyelesaikan masalah.

“Kita bukan hanya mengeluarkan bantahan, tetapi mengesyorkan kepada badan antarabangsa termasuk OIC untuk bertindak secara bersama dalam peperangan antara Israel dan Hamas.

“Ini kerana tindakan secara unilateral (sepihak) tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah, lantaran itulah melalui OIC menyatakan pendirian secara tegas dan bertindak bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!