Rumah tidak siap, tentera derita tanggung hutang

Ahli Parlimen Ketereh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nasib anggota tentera dan bekas tentera yang membuat pinjaman perumahan, tetapi menanggung hutang apabila projek perumahan terbengkalai mendapat perhatian Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, beliau mendakwa 447 anggota tentera dianiayai oleh pemaju akibat kecuaian, sikap sambil lewa dan ketidakcekapan segelintir pegawai bahagian perumahan Kementerian Kewangan.

- Advertisement -

Beliau mendedahkan bahawa terdapat satu kes yang melibatkan 87 anggota tentera lain pangkat yang dipotong gaji sejak 12 tahun lalu, iaitu sejak 2009 hingga kini.

“Jadi rumah memang (pembinaan) sudah berhenti, duit 100 peratus sudah dibayar kepada pemaju. Saya hendak tahu macam mana Kementerian Kewangan hendak selesaikan masalah ini.

“Ini kerana membabitkan anggota tentera dan bekas tentera yang menanggung hutang, ada yang sakit dan macam hendak mereng otak, tolong bagi penyelesaian,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, kes membabitkan 87 anggota tentera itu bersifat khusus dan meminta Ahli Parlimen Ketereh menulis surat kepadanya bagi membolehkan tindakan susulan dilakukan.

Namun, katanya Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) boleh membantu melakukan penjadualan semula bayaran balik pembiayaan jika projek perumahan lewat siap dan telah disahkan sebagai projek terbengkalai atau sakit.

“Sekiranya projek perumahan tersebut lewat siap dan telah disahkan sebagai projek terbengkalai atau sakit oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah dan Sarawak (KKTP) selepas tamat tempoh tangguh tersebut, LPPSA masih boleh membantu melakukan penjadualan semula bayaran balik pembiayaan.

“Bayaran balik pembiayaan dengan ansuran bulanan yang lebih rendah sekitar 20 hingga 40 peratus daripada ansuran bulanan asal sehingga tempoh lima tahun atau sehingga projek rumah dipulihkan, yang mana lebih terdahulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

- Advertisement -