Raja Muda Perlis saran Terminal CIQ dibuka semula

- Advertisement -

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar pembukaan semula Terminal CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin) di Kuala Perlis, di sini, dapat dipertimbangkan.

Titah Baginda, hal tersebut kerana Kuala Perlis pernah menjadi destinasi pilihan utama mendapatkan bekalan keperluan asas dan makanan bagi masyarakat Melayu Muslim Thailand di sekitar Satun terutamanya dari Thamalang, Pulau Panjang dan Puyu.

- Advertisement -

“Sejak ditutup selepas pandemik Covid-19, kegiatan Ekonomi Mikro Kuala Perlis difahamkan menjadi perlahan. Pembukaan semula pintu masuk ini akan sedikit sebanyak dapat membantu merancakkan kembali aktiviti ekonomi Perlis khususnya di Kuala Perlis,” titah Baginda.

Dari segi sejarahnya, sebilangan besar masyarakat Melayu di Satun, Thailand mempunyai ikatan persaudaraan yang rapat dengan masyarakat di Perlis dan Kedah. 

Justeru, Kuala Perlis telah menjadi pintu masuk utama bagi mereka untuk menziarah saudara mara dan kaum keluarga terutamanya apabila berlaku kematian dan perkahwinan.

Sehubungan itu, Baginda bertitah, pengusaha atau syarikat yang membuat perkhidmatan berkenaan boleh mengusulkan kepada pihak Kastam dan juga Imigresen untuk membuat permohonan dalam kadar segera.

Tuan Raja Muda Perlis juga berharap agar Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi berkenaan dapat mempertimbangkan cadangan ini demi kemaslahatan rakyat negeri Perlis khususnya dalam sektor ekonomi.

Baginda  bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Santapan Bersama Tuanku Raja Muda Perlis selepas Program Kayuhan Peduli Bersama JKDM 2023 anjuran Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Taman Perumahan Kastam Kangar, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Sazali Mohamad.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Perkastaman), Datuk Aidit Tajudin; Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Pengurusan), Nasaruddin Abdul Muttalib; dan Penolong Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah.

Baginda turut berkenan menyaksikan penyempurnaan simbolik penyerahan beras oleh Sazali kepada Ketua Unit Agihan, Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Mohamad Najdi Mohd Noor; yang menyaksikan MAIPs menerima sumbangan beras sebanyak 515 kilogram dan akan disalurkan kepada para asnaf dan golongan yang memerlukan di negeri ini.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan agar para penjawat awam khususnya Jabatan Kastam DiRaja Malaysia akan terus berkhidmat dengan cemerlang bagi memastikan kutipan hasil negara dapat ditadbir urus dengan paling baik dan memastikan ketirisan hasil negara tidak sekali-kali berlaku.

Sementara, Sazali dalam ucapan aluannya menyatakan, peranan dan tanggungjawab JKDM sebagai pentadbir cukai tidak langsung di negara ini tidak hanya untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasaan ke atas perundangan semata-mata.

JKDM juga berperanan untuk membantu pelanggan luar mendapat kefahaman yang baik berkenaan cukai sekali gus meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan mereka. 

Pungutan Hasil JKDM sehingga 30 Julai 2023 adalah sebanyak RM 41.692 bilion di mana unjuran pungutan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2023 pula sebanyak RM52 billion.

“JKDM sangat komited dalam membuat penambahbaikan secara berterusan, khususnya bagi perkara yang melibatkan aspek perundangan, dasar mahupun polisi, antara semua pihak yang terlibat bagi mencapai hasrat serta meraih aspirasi program, sekali gus mencorak peningkatan ekonomi negara melalui perdagangan utama dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

- Advertisement -