Kerajaan perlu perjelaskan proses audit tenaga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan sama ada proses pengauditan tenaga boleh dilakukan secara dalaman syarikat atau pihak audit luaran sebagai garis rujukan panduan.

Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, pengauditan merupakan perkara penting dalam proses pembinaan tenaga dan perlu diberikan penerangan secara terperinci oleh pihak kerajaan.

- Advertisement -

Katanya, berdasarkan semangat yang disuarakan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, sendiri jelas menunjukkan Suruhanjaya Tenaga ingin melihat laporan audit itu.

“Jadi kalau boleh dijelaskan sama ada boleh dibuat secara dalaman oleh syarikat atau perlu auditor bebas untuk menyiapkan laporan tersebut,” katanya ketika mencelah ucapan Nik Nazmi pada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Bekalan Elektrik 1990 atau Akta 447 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Radzi berkata, setiap proses mengaudit laporan kewangan mempunyai garis panduan dan meminta kerajaan menjelaskan mana-mana pihak audit yang ingin dirujuk mengenai perkara tersebut.

Bagi menjawab persoalan ini, Nik Nazmi menyatakan proses pengauditan tenaga secara luaran dan dalaman berbeza berbanding audit kewangan.

“Namun begitu, sekarang audit tenaga boleh dibuat oleh mana-mana juruaudit tenaga yang berdaftar dan ini adalah permintaan yang ada sekarang di peringkat perundangan ini sama ada luar atau dalaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!