KUALA LUMPUR: Kepelbagaian peranan kesatuan sekerja menyebabkan kewujudan kesatuan sekerja amat penting di negara ini.
Ustaz Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) berkata antara peranan kesatuan sekerja ialah sebagai kumpulan pendesak di tempat kerja.
Menurutnya, kesatuan sekerja dilihat berupaya mempengaruhi sebarang keputusan yang dibuat oleh majikan yang membabitkan kepentingan dan kebajikan pekerja.
Selain itu, katanya kesatuan sekerja berperanan memastikan kedudukan gaji dan faedah kewangan pekerja sentiasa dioptimumkan.
“Kesatuan sekerja juga sentiasa mengawal selia sistem perhubungan perusahaan bersama pihak pengurusan di tempat kerja supaya kebajikan pekerja mendapat keutamaan dan dilindungi dan ini dapat direalisasikan melalui Perjanjian Bersama (CA).
“Kesatuan sekerja juga berperanan menyediakan perkhidmatan dan latihan bagi meningkatkan taraf kehidupan dan sosial ahli dari semasa ke semasa seiring dengan kemajuan dan pembangunan ekonomi negara,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Kesatuan Kerja (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan laporan Indeks Keharmonian Perusahaan (IHI) 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, katanya skor IHI negara secara keseluruhan adalah 78 peratus.
Katanya, ini menunjukkan tahap keharmonian perusahaan negara berada pada tahap yang baik.
Sementara itu, beliau mencadangkan tempoh pemohonan pendaftaran kesatuan sekerja mengikut Seksyen 8(1) Akta 262 tidak terlalu lama sehingga enam bulan.
“Pasir Salak menyarankan supaya tidak perlu terlalu lama hingga enam bulan. Tiga bulan sudah mencukupi,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!