
KANGAR: Seramai 300 orang pelajar Perlis terpilih menyertai Kem Jati Diri Belia Perlis (Youth2Unity@Patriotic) 2023.
Majlis Flag-Off yang berlangsung di Dewan Warisan Kangar, semalam, disempurnakan perasmiannya oleh Raja Muda Perlis ,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda bertitah, pelaksanaan kem tersebut bertujuan bagi memberikan pendedahan tentang isu dan cabaran melalui penyatuan masyarakat dalam membina negara bangsa.
Baginda turut bertitah agar segala ilmu yang dipelajari perlu dipraktikkan dalam masyarakat setempat supaya dapat memberikan impak yang baik kepada negeri Perlis khususnya.
“Ilmu kepimpinan melalui nilai jati diri anak watan semestinya ada bagi belia negeri ini dalam menjadikan Perlis sebagai Maju dan Hebat”, titah Tuanku Raja Muda.
Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan simbolik pengurniaan bendera negeri Perlis kepada ketua-ketua bagi tiga kem yang terlibat.
Antaranya, Ketua Kem Wawasan Negara Kaki Bukit Perlis, Mohd Saiful Md Desa, Ketua Kem Wawasan Negara Kulim Kedah, Mohd Faizul Mohd Toff dan Ketua Kem Wawasan Negara Ulu Kenas Perak, Mohd Termizi Mat Bunor.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar program demkian menjadi pemangkin bagi menarik minat belia terutamanya anak watan di negeri Perlis agar sentiasa mengamalkan pembudayaan belia aktif di peringkat komuniti.
Baginda juga berharap kerjasama di antara Agensi-Agensi Negeri Perlis dan Agensi Latihan seperti Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi pelbagai inisiatif mampu memberi manfaat kepada belia Perlis dalam kualiti dan kesejahteraan hidup belia Malaysia.

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah i-LEAD, Mohd Haswandi Ahmad.
Mohd Haswandi berkata, program anjuran bersama i-LEAD dan KBS dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Rejimen 504 Askar Wataniah itu berlangsung selama tiga hari dua malam – serentak di tiga buah Kem Wawasan Negara (KWN) di Perlis, Kedah dan Perak dengan menempatkan seramai 100 peserta di setiap kem.
“Kursus ini bertujuan untuk memberi impak positif kepada para belia khususnya dalam membentuk karakter dan mempunyai sifat kesiapsiagaan untuk terus komited dalam melaksanakan sesuatu walaupun menempuh pelbagai cabaran dan halangan.
“Belia yang terlibat mempunyai kekuatan dan kemampuan dalam diri masing-masing yang boleh dibangunkan secara optimum ke arah mencapai sahsiah unggul dan jati diri yang mantap,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!