KUALA LUMPUR: Sebanyak sembilan soalan dikemukakan oleh ahli-ahli parlimen daripada PERIKATAN NASONAL (PN) kepada Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Soalan-soalan itu diajukan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas (2023) yang bermula hari ini hingga 30 November depan.
Antara ahli parlimen yang mengemukakan soalan ialah Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin (Larut), Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] dan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kasim.
Berikut ialah soalan daripada ahli-ahli parlimen PN yang disenaraikan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Perdana Menteri menyatakan inovasi baharu Ekonomi MADANI yang berbeza dengan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi menjayakan sasaran meletakkan Malaysia di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia dengan mengambil kira persekitaran global serta cabaran semasa dan mendatang.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan:
(a) garis masa dan langkah Kerajaan dalam melaksanakan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya; dan
(b) berapa anggaran implikasi kewangan yang diperlukan bagi melaksanakan polisi ini.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah halangan Kerajaan untuk mengklasifikasikan perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang di tandatangan baru- baru ini.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan:
(a) senarai secara terperinci projek perumahan awam yang terbengkalai di seluruh Malaysia; dan
(b) selain tindakan saman, apakah garis panduan yang boleh dibuat oleh pembeli-pembeli terhadap projek perumahan awam yang terbengkalai ini.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah dan lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal yang telah berjaya dibina berikutan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi pada 31 Januari 2023 bahawa Kerajaan akan membina Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal di lokasi yang sentiasa mengalami banjir di seluruh negara.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan senarai terperinci setiap satu portal dan akaun media sosial yang telah disekat sehingga sekarang, sebab-sebab ianya disekat, berapa lama dan sehingga bilakah sekatan dikenakan.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Perdana Menteri menyatakan Program Kesejahteraan Rakyat dan Pembasmian Kemiskinan melalui sistem eKasih semua Kementerian, Kerajaan Negeri dan pejabat daerah sebagai saluran bantuan kepada kumpulan sasar. Sejauh manakah pelaksanaannya di Parlimen Merbok.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Luar Negeri menyatakan tindakan susulan Wisma Putra terhadap bantahan diplomatik kepada China berhubung Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi kawasan maritim Malaysia yang secara terang mencabar kedaulatan kawasan maritim Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan berapa banyak peruntukan yang telah disalurkan kepada pembangunan Kampung Baru Cina di seluruh negara dan apakah rasionalnya pengurusan Kampung Baru Cina ini masih dikekalkan.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Perdana Menteri menyatakan bilangan jemaah haji bagi tahun 2023 yang dibayar subsidi dan bilangan jemaah haji dengan kuota rayuan.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan pelan Kementerian bagi memastikan kelancaran penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) termasuk aspek penajaan untuk tahun-tahun akan datang susulan tindakan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk menyenaraikan semula LTdL 2023 dalam kalendar badan induk tersebut tahun ini.
Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi menyelesaikan isu banjir kilat di Parlimen Padang Rengas dan adakah Kerajaan akan menyediakan peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan sistem perparitan/sungai di sini.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Perdana Menteri menyatakan status baki projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 khususnya di Parlimen Machang, sama ada diteruskan, ditangguh atau dibatalkan.
Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan apakah bidang kuasa, had siling dan wewenang yang diberikan kepada YAB Perdana Menteri dan Menteri-Menteri untuk mengumumkan serta meluluskan ‘projek segera’ dan peruntukan khas, sebelum dan sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan apakah usaha penambah baikan Kerajaan untuk mewujudkan ruang industri kreatif negara yang bersepadu dengan penyertaan aktif oleh para penggiat seni tempatan.
Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Perdana Menteri menyatakan kepada Dewan Rakyat yang mulia ini adakah benar Kerajaan sedang bercadang melakukan persempadanan semula dengan kadar segera atas dasar kepentingan politik Kerajaan Madani seperti sedia maklum SPR juga adalah salah sebuah agensi di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri yang mampu menjalankan tindakan mengikut kehendak kepimpinan utama semasa.
Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi menyatakan:
(a) perancangan Kerajaan untuk menghadapi keperluan meningkat ketara penggunaan artificial intelligence sebagai kaedah melonjakkan kemajuan dan kemakmuran; dan
(b) perancangan jangka panjang dan jangka pendek pihak Kerajaan untuk memastikan kemajuan dan penemuan perubatan (inovasi) khususnya dalam keterjaminan bekalan ubat/vaksin dan peralatan perubatan terutama untuk menghadapi sebarang wabak seperti COVID-19.
Tuan Zakri bin Hassan [Kangar] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan adakah Pusat Latihan Daerah (PLD) dan Akademi Tunas (AT) di dalam NFDP akan diperluaskan lagi atau akan diperkecilkan lagi pusat- pusat ini.
Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan sejauh mana Kerajaan mengotakan janji memberi hak kebebasan bersuara di kalangan rakyat dan kebebasan media bagi industri media cetak dan elektronik negara.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan usaha-usaha yang telah dan akan dilakukan bagi mempertingkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya melakukan pengasingan sampah mengikut kategori agar proses pelupusan sampah dan kitaran semula lebih berkesan dan selamat kepada penduduk sekitar.
Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan untuk memperbanyakkan keperluan rumah kos rendah rakyat di Parlimen Gerik bagi mengimbangi pendapat penduduk terutamanya golongan belia yang bekerja kampung yang rata- ratanya pendapatan yang rendah.
Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah langkah proaktif Kementerian dalam memastikan peruntukan kos siling sebanyak RM11.2 bilion bagi lima buah kapal LCS dapat disiapkan seterusnya diserahkan kepada penggunanya iaitu TLDM memandangkan prospek kejayaan bagi projek ini adalah semakin gelap.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Pertahanan menyatakan kedudukan kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi memastikan ia terus komited menjalankan fungsinya sebagai skim simpanan persaraan bekas anggota tentera.
Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sehingga kini sejauh mana institusi perbankan menyambut baik Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dalam merealisasikan matlamat Kementerian untuk membantu pekerja ekonomi gig memiliki rumah kediaman sendiri.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan:
(a) bilakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memulakan Urusan Kajian Semula Bahagian-bahagian Pilihan Raya yang baharu bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak; dan
(b) nyatakan prinsip-prinsip yang diambil kira bagi melaksanakan pelaksanaan langkah tersebut.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan pelan rancangan untuk meningkatkan piawai keselamatan yang melibatkan jenis sukan-sukan ekstrem seperti sukan permotoran dan sebagainya.
Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Perdana Menteri menyatakan bilakah Kerajaan akan melaksanakan penubuhan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal untuk mangsa bencana terutama di negeri sering dilanda banjir seperti Terengganu dan Kelantan. – HARAKAHDAILY 9/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!