BENTONG: Kesetiaan petugas Muslimat PAS Kawasan Kuala Krau tidak berganjak menyantuni para pengundi sambal berselawat di bawah terik matahari mengundang perhatian umum termasuk Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.
Ustaz Idris begitu teruja dengan kesetiaan muslimat sanggup menunggu sehingga matahari gelincir tidak berganjak sebagai perayu undi di UDM Felda Sungai Kemahal, di sini hari ini.
Beliau dan isteri, Datin Kamariah Mat Ali turut memuji penampilan sopan dan ‘trendy’ muslimat mengenakan pakaian seragam ‘navy blue’, bersarung tudung bawal ‘polkadot olive grey’ serta berpayung pink sumbangan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar.
“Saya kagum melihat muslimat sini, sanggup tunggu sampai tengah hari tak berganjak.
“Lagi teruja lengkap berbaju seragam pakai payung pink lagi, nanti saya nak jumpa ahli parlimen dia nak bagitahu,” ujar beliau ketika membuat lawatan ke UDM tersebut.
Pengarah Pilihanraya Muslimat Kuala Krau, Rusni Harun, berkata seramai 135 orang petugas diketuai Ketua Muslimat, Rohaya Razali, telah turun membantu PAS Kawasan Bentong secara silih berganti sejak satu September lalu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pelangai. – HARAKAHDAILY 7/10/2023