AWAL pagi hari ini, kumpulan pejuang Palestin iaitu Hamas dan Jihad Islami melancarkan operasi ketenteraan mengejut ke atas negara haram Israel yang dikenali sebagai ‘Taufan Al Aqsa’ dengan melancarkan serangan dari darat, udara dan laut.
Ia berikutan pencerobohan berterusan pendatang haram yahudi termasuk pemimpin utama rejim zionis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa di samping kekejaman dan kezaliman yang berterusan ke atas rakyat Palestin.
Sehingga kini tentera rejim zionis Israel melaporkan lebih 2,200 serangan roket dilancarkan ke atas wilayah Palestin yang dijajah rejim zionis Israel seperti utara Gaza, Esklan, Bir Al-Saba, Ashdoud, Tel Aviv dan Jerusalem.
Sehingga kini, kumpulan pejuang Palestin telah berjaya melepasi dan kemudiannya merobohkan pagar sempadan rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza serta manawan dan membebaskan sekurang-kurangnya 3 wilayah (penempatan) yang sebelum ini dikuasai rejim zionis Israel.
Hamas kemudiannya mengumumkan telah berjaya menawan kembali Timur Rafah.
Ketika ini dilaporkan sedang berlangsung pertempuran sengit antara kumpulan pejuang Palestin dan tentera rejim zionis Israel di sekurang-kurangnya 20 lokasi di utara Gaza dengan kumpulan pejuang Palestin terus melancarkan serangan roket ke atas Tel Aviv, Jerusalem dan lokasi-lokasi penting rejim zionis Israel.
Dilaporkan juga berkemungkinan satu pengkalan tentera rejim zionis Israel telah ditawan kumpulan pejuang Palestin.
Berikutan serangan kumpulan pejuang Palestin, puluhan tentera dan polis rejim zionis Israel ditembak mati termasuk ditawan seorang pegawai tertinggi tentera rejim zionis Israel.
Menurut satu sumber, sekurangnya-kurangnya 60 orang pendatang haram yahudi ditawan kumpulan pejuang Palestin dan pendatang haram yahudi secara beramai-ramai telah meninggalkan wilayah yang ditawan dan berada dalam kawasan operasi ketenteraan kumpulan pejuang Palestin.
Terkini warga Palestin telah mula memasuki wilayah yang telah ditawan kumpulan pejuang Palestin dan kumpulan pejuang Palestin sedang meluaskan kawasan operasi ketenteraan dan memperhebatkan serangan ke atas rejim zionis Israel. – HARAKAHDAILY 7/10/2023
Penulis ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.