Mangsa dibaham harimau sukar dikeluar kawasan bercerun

Foto hiasan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Lebih sejam masa diambil untuk mengeluarkan mangsa yang dibaham harimau di Kampung Perwer, di Pos Pasik, di sini semalam.

- Advertisement -

Operasi berkenaan membabitkan 27 anggota keselamatan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu mencari mangsa penduduk Orang Asli.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, gerakan mengeluarkan mayat mangsa berdepan kesukaran kerana kawasan yang bercerun.

Katanya mangsa diseret sejauh 300 meter ke bawah cerun daripada tempat dia diterkam.

“Mangsa ditemui dengan kecederaan secara fizikal di mana sebelah paha bahagian kiri sudah tiada dan muka mangsa dalam keadaan tidak sempurna dipercayai dimakan binatang buas.

“Memandangkan keadaan lokasi kejadian yang bercerun, anggota keselamatan mengambil masa satu jam 15 minit untuk membawa mangsa keluar dari tempat dia diseret,” katanya pada satu kenyataan petang semalam.

Kata beliau berdasarkan kesan cengkaman di bahagian leher dan kesan tapak kaki di tempat kejadian, mangsa dipercayai di serangan oleh harimau.

Menurutnya anggota keselamatan dari Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang bertolak ke tempat kejadian pada jam 8.30 pagi selepas taklimat khas.

Katanya pasukan penyelamat tiba di tempat mayat dijumpai jam 11.30 pagi.

“Kira-kira jam 12.45 mayat berjaya dibawa keluar dan pada jam 3 petang sampai di Hospital Gua Musang untuk bedah siasat kira-kira jam 8.30 malam ini,” katanya.

Oleh itu beliau menasihatkan penduduk Orang Asli di sekitar Pos Pasik berhati-hati dan sentiasa bergerak dalam kumpulan.

“Kami percaya haiwan liar itu masih berkeliaran di kawasan terbabit dan meminta penduduk lebih berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, penduduk Orang Asli di pos terbabit melahirkan bimbang berikutan binatang buas berkenaan belum lagi ditangkap. – HARAKAHDAILY 6/10/2023