KUALA TERENGGANU: Program Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda memberi impak positif dalam usaha memperkayakan sumber perikanan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program terbabit dapat meningkatkan pendapatan nelayan khususnya di Zon A.
Katanya, peningkatan jumlah pendaratan hasil marin dibuktikan melalui data dan fakta dikumpul agensi berkaitan.
“Ini menggambarkan program kita memberi impak yang sangat positif dalam usaha memperkayakan sumber perikanan bagi meningkatkan pendapatan nelayan khususnya di zon A,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda di Jeti Duyong Marina, di sini, hari ini.
Acara melabuh tukun disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Baginda melabuhkan sebanyak 14 unit tukun tiruan.
Hadir sama Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, anggota-anggota Exco serta pegawai kanan kerajaan.
Dr Azman juga berkata, sasaran kerajaan negeri untuk melabuhkan 100 unit tukun pada tahun hadapan.
“Jadi bermula tahun hadapan kita menyasarkan setiap tahun melabuhkan 100 unit tukun. Ini meningkat lebih sekali ganda daripada bilangan unit yang kita labuhkan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya juga program itu akan menyusul di perairan Batu Rakit dan Rhu Sepuloh di Setiu.
Tambahnya, 40 tukun yang dibina itu melibatkan kos RM1 juta dibiayai kerajaan negeri.
Selain itu kerajaan Persekutuan turut menyalurkan dana sebanyak RM300,000 untuk tukun konservasi yang telah dilabuhkan di perairan Pulau Kapas.
“Kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang menyalurkan dana untuk membina tukun konservasi.
“Jadi RM1 juta campur RM300,000 daripada kerajaan Persekutuan menjadikan pada tahun ini 54 tukun yang kita labuhkan di perairan Terengganu,” katanya.
Kata beliau juga di samping memperkayakan sumber perikanan, tukun terbabit menjadi penghalang pencerobohan nelayan pukat tunda.
“Matlamat besar kita nak mewujudkan satu garisan tukun di sempadan zon A, kira-kira 5 batu nautika daripada pesisir pantai dan kita memerlukan sekitar 200 tukun sahaja lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2023