
ARAU: RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya mahasiswa perlu melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti bukan akademik anjuran universiti.
Sehubungan itu, Baginda selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam titahnya mahu agar penglibatan aktif mahasiswa itu menambahkan kemahiran insaniah masing-masing selain meningkatkan prestasi dalam bidang akademik.
“Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di universiti direka khusus bagi membentuk mahasiswa yang seimbang dalam aspek jasmani dan emosi, serta rohani dan juga intelek.
“Malah, ia akan menggalakkan perkembangan bakat, sifat kreativiti selain melonjak potensi mahasiswa ke tahap yang maksimum,” titah baginda.
Titah Baginda lagi, menerusi penyertaan aktiviti-aktiviti seumpama itu ia dapat mengurangkan tekanan dan menyeimbangkan kehidupan mahasiswa terutamanya para pelajar yang tinggal jauh daripada keluarga dan juga yang mempunyai jadual kelas yang padat.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Minggu Suai Kenal (MSK) Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2023/2024 UniMAP, semalam.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor.
Majlis yang dihadiri 2,048 mahasiswa baharu UniMAP itu turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan antaranya Tarian Endang dan Sutramaya, Koir (Dinda & Believer) dari Kelab Koir, Tarian Hadrah, Puisi (Puteri Gunung Ledang) dan beberapa persembahan lain.
Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyaksikan majlis penyerahan ‘secara simboliknya Kad My Siswa XOX’ oleh Naib Presiden Kanan Jualan dan Pemasaran ONE XOX Sdn Bhd, Mohammad Khatab Mahvi kepada Naib Canselor UniMAP.
Kad My Siswa XOX ini merupakan kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi, XOX, ONEXOX dan VMR Three Sdn Bhd (VMR3) bertujuan meningkatkan pembangunan bakat dan kreativiti dalam diri pelajar, terutamanya melalui aktiviti yang memerlukan penggunaan internet dan data tinggi, pada harga yang rendah.
UniMAP akan menjadi antara universiti awam terawal yang bakal menikmati program MySISWA yang bukan sahaja menawarkan pek SIM istimewa kepada para pelajar dalam fasa pertama ini, tetapi juga gaya hidup berteknologi tinggi melalui keseluruhan ekologinya merangkumi Smart Vending Machine, platform e-Commerce tersendiri dan lain-lain dalam fasa berikutnya.
Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan ucapan tahniah dan syabas di atas kejayaan mahasiswa yang telah menempatkan diri di institusi pendidikan tinggi awam ini.
Baginda berharap agar para pelajar yang terpilih dapat memanfaatkan peluang keemasan ini dengan belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang cemerlang pada setiap semester di samping menjaga keselamatan diri serta nama baik masing-masing ketika berada di Perlis.
“Mereka juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi dan tidak melanggar batasan agama, undang-undang, serta adab,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 4/10/2023