Adun agih bantuan penduduk miskin rumah ke rumah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Saizol Ismail menggunakan pendekatan mengagihkan bantuan kepada penduduk miskin dari rumah ke rumah, di samping dapat menyelami masalah mereka.

- Advertisement -

Beliau berkata, kaedah itu merupakan cara terbaik dilaksanakan selepas diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

Menurutnya bantuan ke rumah penduduk dapat menyelami kehidupan rakyat berbanding mengadakan majlis di Pusat Khidmat Masyarakat Dun.

“Kita laksanakan agihan secara bergilir-gilir mengikut zon bagi memastikan penduduk miskin mendapat bantuan yang disediakan kerajaan negeri.

“Apabila hadir ke rumah penduduk kita dapat melihat sendiri keadaan sebenar kerana agak sukar mereka untuk ke pejabat wakil rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.

Saizon yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Kerian berkata, pendekatan yang dilaksanakan sebelum ini diubahsuai sedikit biar pun agak memenatkan.

Katanya juga ketika bertandang ke rumah penduduk miskin dan mereka yang terlantar sakit, mereka tidak segan silu bercerita masalah dihadapi keluarganya.

Selain itu kata beliau dapat meninjau dari dekat kemudahan infrastruktur di kampung bagi keselesaan rakyat.

Kerajaan Kelantan melaksanakan pelbagai program berkebajikan termasuk skim beras percuma al It’am yang diagih setiap bulan bersama gula dan minyak masak.

Selain itu Skim Kifaalah dengan menyumbang sebanyak RM1,000 kepada warga emas yang meninggal dunia. – HARAKAHDAILY 5/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!