KANGAR: Kesedaran pengguna di Perlis terhadap penggunaan solar bumbung terutama di kawasan perumahan dan domestik sehingga kini masih berada pada paras bawah 10 peratus.
Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah dan Perlis, Wan Ishak Soed berkata, negeri Kedah dan Perlis sesuai dengan penggunaan tenaga itu kerana berada di kawasan titik panas
“TNB mengharapkan agar pengguna domestik khususnya di Kedah dan Perlis dapat meneroka penggunaan solar bumbung ini kerana dua negeri ini merupakan kawasan titik panas dan amat sesuai sekiranya beralih daripada tenaga konvensional kepada solar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan santai bersama pengamal media Perlis pada Majlis Hi-Tea di Fairy Le Phenomenal di sini, semalam.
Menurut Wan Ishak, TNB mensasarkan pengurangan penjanaan arang batu kepada 50 peratus pada masa hadapan menerusi peralihan tenaga tersebut dengan melebihkan penggunaan tenaga boleh baharu.
“Anak syarikat TNB yang menguruskan teknologi ini iaitu G-Sparx kini sedang bergiat aktif bagi menjadi ‘game changer’ dalam kelestarian alam sekitar terutamanya menerusi proses peralihan tenaga ini.
“Aspirasi kita adalah bagi mencapai pelepasan sifar bersih (net zero emissions) menjelang 2050 sebagai langkah ke arah dekarbonisasi dan tenaga boleh baharu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menurut beliau, pemasangan panel solar di kediaman mampu memberi penjimatan bulanan bil elektrik sehingga 90 peratus.
“Contohnya, apabila bil bulanan pengguna dalam lingkungan RM170 hingga RM230, dengan panel solar ini pengguna akan menikmati manfaat bayaran serendah RM2 sehingga RM27 menerusi penggunaan sistem solar PV (fotovoltaik) dengan kapasiti 4.5 kilowatt peak (kWp).
“Pemasangan panel solar bagi 4.5 kWp adalah sekitar RM21,199 dengan manfaat akan dinikmati dalam jangka masa panjang sehingga 20 ke 30 tahun menerusi penjimatan bil elektrik pada setiap bulan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, ujarnya, inisiatif solar tersebut merupakan antara alternatif bagi penggunaan tenaga boleh baharu ke arah menjamin kelestarian alam.
“Semakin besar kapasiti solar daripada segi kWP yang digunakan, maka pengguna akan menikmati lebih banyak penjimatan.
“Tenaga yang dijana oleh solar PV adalah berbeza berdasarkan cuaca, kapasiti sistem dan faktor sekeliling seperti teduhan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2023