KUALA TERENGGANU: Terengganu adalah sebuah negeri yang berdaulat, ada sempadannya termasuk peranan dalam membina ekonomi negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri Darul Iman ini turut menyumbang kepada sebuah negara yang bernama Malaysia.
“Peta Malaysia di Semenanjung, tidak lengkap, jika sebuah negeri seperti Terengganu tidak dimasukkan, jumlah penduduk Malaysia tidak lengkap tanpa penduduk Terengganu.
“Penduduk Terengganu pula bukan ahli atau penyokong satu parti sahaja, bahkan semua parti yang berdaftar dalam negara kita ada ahlinya dari Terengganu, sama seperti negeri-negeri lain, dan sudah semestinya majoriti tidak menjadi ahli mana-mana parti,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurutnya, itulah masalah yang menghantui parti politik yang menyertai sistem politik demokrasi dalam negara ini sejak sekian lama.
“Sistem sudah baik, tetapi dicemarkan oleh tindakan ahli politik yang hanya mementingkan tindakan populis dan political survival, berbanding tanggungjawab mengurus tadbir seluruh rakyat dalam negeri atau negara, berbeza dengan negara-negara maju di dunia ini,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dun, hari ini.
Katanya lagi, kesejahteraan rakyat turut terjejas disebabkan perbezaan politik yang telah menjadi duri di negara ini.
Malah, ujarnya perbezaan politik juga telah menyebabkan rantaian ekonomi terganggu dan merencatkan keharmonian dicapai.
“Suasana ini perlu berubah, dengan pemimpin yang diberi amanah menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat, dan berkhidmat dengan penuh ikhlas dan profesional,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2023