‘Krisis kejatuhan ringgit: Kerajaan tak boleh diam diri’

Ramalan Yunus
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan seharusnya tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja krisis kejatuhan nilai matawang negara ini terus berlaku.

Pakar ekonomi bebas, Dato’ Dr Ramalan Yunus berkata, Ringgit Malaysia telah mengalami susut nilai yang tinggi dan terus jatuh ke paras terendah dalam sejarah iaitu 1 Dolar AS bersamaan RM4.71.

- Advertisement -

“Persoalannya ialah sampai bila perkara tersebut mahu dibiarkan oleh kerajaan dan takkan kerajaan hanya sekadar nak berpolitik dalam keadaan krisis sebegini?” katanya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, mana-mana parti politik yang memegang tampuk pemerintahan sama ada persekutuan mahupun negeri perlu belajar dari sejarah negara Jerman yang bangkit selepas berhadapan dengan pelbagai krisis termasuklah Pandermik Selesama (1918) dan Kemelesetan Ekonomi Dunia (1929).

Kata beliau, Jepun juga merupakan antara negara yang telah bangkit daripada kemusnahan akibat Perang Dunia Kedua dan menjadi antara negara yang mempunyai ekonomi termaju di dunia.

“Kita perlu melihat apa yang kedua-dua negara ini melakukan perubahan terhadap sistem kewangan negara mereka sendiri yang menyebabkan mereka boleh bangkit menjadi antara negara yang mempunyai ekonomi yang kuat sehingga kini,” ujarnya.

Tambah beliau, negara China baru-baru ini telah berjaya mengangkat 800 juta rakyatnya yang berada di bawah paras kemiskinan secara berperingkat menjadi golongan pertengahan seperti yang ada pada hari ini.

Ini kerana menurut beliau lagi, kerajaan China pada masa ini telah membetulkan keadaan kewangan negaranya dengan amat tegas dan pada masa sama menghukum sesiapa sahaja yang mengamalkan jenayah-jenayah besar seperti rasuah tanpa sebarang kompromi.

“Sepatutnya kerajaan mempunyai ketegasan sebegitu tetapi malangnya setelah berlalunya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 keadaan masih tidak berubah,

“Ini kerana keadaan ekonomi rakyat masih lagi terjejas walaupun berkali-kali tukar kerajaan dan apa yang rakyat inginkan adalah solusi dan bukannya retorik politik semata-mata,” tegasnya.

Beliau meluahkan kebimbangannya terhadap tindak tanduk kerajaan yang masih lagi kurang peka dalam pengurusan ekonomi negara ini dan berpolitik lebih-lebih ketika berlakunya krisis ekonomi.

Beliau juga berharap supaya kerajaan mengurangkan sifat berpolitik semata-mata dan lebih memfokuskan kepada solusi-solusi yang perlu dilakukan dalam menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Ini kerana rakyat sendiri mengharapkan agar golongan elit politik sama ada dalam kalangan kerajaan mahupun pembangkang lebih cerdas dalam memperbaiki keadaan ekonomi negara ini yang telah melalui pelbagai krisis termasuklah pandemik Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2023