Berilah sokongan anda, undi Cikgu Kasim pada 7 Okt ini

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, semalam saya turun ke beberapa tanah rancangan Felda di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang bagi menyertai program bertemu rakyat sempena Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai.

- Advertisement -

Sebelum ke majlis Sepetang Bersama NGO Pahang di Simpang Durian, saya menziarahi balu dan keluarga mangsa nahas pesawat di Bandar Elmina Ogos lalu Allahyarham Ustaz Idris Abdul Talib di rumahnya di Ketari, Bentong.

Saya mendoakan agar Puan Adlina Aisyah Ahmad Rusli (balu Allahyarham Ustaz Idris), Puan Nizatul Akmar Mohd Nasir (balu Allahyarham Khairil Azwan Jamaludin) dan Datin Seri Maziah Samsudin (balu Allahyarham Datuk Seri Johari Harun) yang diwakili anaknya Muhammad Shafieq Hafizil Man Johari dan seluruh ahli keluarga mangsa nahas diberi kekuatan, kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian ini.

Ketika bertemu dengan wakil-wakil NGO Pahang di Restoran Faez Tomyam, saya berpeluang mendengar keluhan dan suara hati mereka berhubung situasi negara yang disifatkan sebagai ‘tidak memberangsangkan’ ketika ini.

Mereka risau melihat keadaan hidup rakyat yang semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup, harga barangan keperluan semakin mahal, bekalan beras yang berkurangan dan sukar diperolehi dalam pasaran serta hala tuju ekonomi negara yang kabur.

Ketika berucap pada ceramah Selamatkan Malaysia di Felda Kemahal dan Felda Chemomoi, saya tegaskan sekali lagi bahawa masalah kekurangan bekalan beras yang dihadapi rakyat di bawah kerajaan PH-BN tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sebelum ini.

Jujurnya perkara ini biasa kita dengar berlaku di beberapa negara miskin di benua Afrika dan negara dunia ketiga sahaja.

Bagaimanapun, apa yang kita bimbangi sudah berlaku di negara sendiri dan lebih malang sehingga sekarang kerajaan PH-BN masih gagal berbuat sesuatu bagi menyelesaikan kemelut yang membebankan rakyat ini.

Justeru, saya menyeru seluruh pengundi di DUN Pelangai agar menolak kerajaan PH-BN pada PRK ini sebagai satu mesej rakyat menolak kegagalan kerajaan yang memerintah sekarang.

Berilah sokongan anda dengan mengundi calon Perikatan Nasional (PN) Cikgu Kasim Samat pada hari pengundian 7 Oktober ini. – HARAKAHDAILY 4/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -