VENICE: Sekurang-kurangnya 21 orang termasuk dua kanak-kanak dan pelancong asing maut, selepas sebuah bas terjunam dari jambatan sebelum terbakar.
Kejadian berlaku berhampiran bandar Venice di Itali pada Selasa (3 Okt), waktu tempatan, berkenaan menyaksikan bas malang itu melanggar penghadang dan terjunam berhampiran landasan kereta api di daerah Mestre, yang disambungkan ke Venice melalui jambatan.
Gabenor Venice, Luca Zaia berkata sekurang-kurangnya 21 mangsa maut dan lebih 20 orang dimasukkan ke hospital.
“Usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkan dan mengenal pasti mayat. Mangsa dan mereka cedera termasuk dari beberapa negara, bukan hanya orang Itali,” katanya.
Pengawas bandar, Michelle di Bari pula mengesahkan antara yang maut ialah lima warga Ukraine, seorang warga Jerman dan pemandu Itali, lapor BBC.
Sementara Datuk Bandar Venice, Luigi Brugnaro menggambarkan nahas tersebut sebagai ‘mala petaka besar’.
Bas itu dikatakan telah disewa untuk membawa pelancong antara Venice dan tapak perkhemahan di daerah Marghera berdekatan; dan dalam dalam perjalanan pulang dari pusat bersejarah Venice ke tapak perkhemahan itu apabila kemalangan itu berlaku kira-kira pada jam 7.30 malam (1730 GMT).

Beberapa laporan mengatakan bas itu dikuasakan oleh gas metana dan jatuh ke talian elektrik dan terbakar.
Menteri Dalam Negeri, Matteo Piantedosi memberi amaran jumlah kematian mungkin meningkat.
Punca nahas masih belum diketahui dan anggota penyelamat terus bekerja di tempat kejadian; dengan sekurang-kurangnya 18 orang diketahui cedera, lima daripadanya parah.
Namun akhbar, Il Corriere della Sera dalam laporannya berkata, bas itu melencong dari jambatan, merempuh penghadang dan jatuh berhampiran landasan kereta api sejauh kira-kira 30 meter, sebelum ia terbakar selepas terkena beberapa talian elektrik.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni berkata beliau mengikuti perkembangan dan mengucapkan takziah.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen turut mengucapkan takziah.
Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock pula berkata beliau sangat terkesan dengan tragedi bas yang dahsyat itu
“Pada malam penuh kesedihan ini, ingatan saya bersama mangsa, keluarga dan rakan mereka,” kongsinya.
Pada tahun 2013, seramai 38 orang terbunuh selepas seorang jurulatih hilang kawalan di jejambat berhampiran bandar Monteforte Irpino, Itali selatan, melanggar beberapa kereta lain sebelum terjatuh ke dalam gaung. – HARAKAHDAILY 4/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!