Peniaga kecil dan sederhana mengeluh isu caj QR DuitNow

KUALA LUMPUR: Pengguna dan peniaga kecil dan sederhana, termasuk mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah, bakal sangat terkesan akibat tekanan daripada caj transaksi yang akan dikenakan untuk pembayaran dan transaksi kod, QR DuitNow.

Ia adalah susulan kenyataan media Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) pada 28 Sept 2023 yang mengesahkan pengenaan yuran transaksi kepada vendor untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 Nov ini.

Advertisement

Tinjauan HarakahDaily di kawasan Titiwangsa, di sini, baru-baru ini mendapati pelanggan dan pekedai restoran makanan berdepan kesukaran jika dibebankan dengan caj yang dikenakan oleh DuitNow, iaitu sebanyak 0.25 peratus (%) untuk pembayaran akaun semasa atau simpanan (debit), dan 0.50% untuk pemindahan yang dibuat melalui kad kredit.

Beberapa peniaga yang ditemubual meluahkan kebimbangan jika caj tersebut dilakukan, kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan pengurangan secara langsung penggunaan kod QR DuitNow ini, sekaligus mengurangkan pelanggan.

Peniaga gerai burger, Pejan ketika ditemubual wartawan HarakahDaily, Muhammad Baihaqi di kawasan Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

“Pada pendapat saya, apabila berkuatkuasanya caj itu, penggunaannya (kod QR) akan menjadi berkurangan. Sebab sekarang ini, majoriti (pelanggan) memang pakai QR. Apabila ramai yang dengar akan ada caj itu, ramai yang mengeluh,” kata seorang peniaga gerai burger dikenali sebagai Pejan, 42.

“Dalam masa yang sama, orang ramai dah start (kembali) kena bawa cash (duit tunai) berbanding sebelum ini. Bila orang start bawa tunai ini, akan ada kes (jenayah). Sebagai contoh, macam kes ragut. Sebelum ini orang dah tak perlu risau, orang bawa kad atau telefon bimbit sahaja.

“Sekarang ini orang dah perlu bawa duit tunai semula. Bukanlah kita minta (kes jenayah) berlaku, tapi orang kata akan ada petonsi ke arah itu. Ini yang kita risaukan,” luahnya.

Peniaga kopi jenama tempatan, Fadhli menegaskan caj terhadap transaksi kod QR DuitNow sebagai tidak relevan dalam keadaan rakyat dibebani dengan masalah kenaikan harga barang.

Sementara, seorang peniaga kopi jalanan jenama tempatan, Fadhli, 30, pula menyatakan bahawa kehairanan beliau dengan caj baharu yang akan dikenakan ke atas transaksi atas talian tersebut.

Ini kerana dia berpendapat bahawa caj tersebut tidak relevan ditambah lagi dengan isu kenaikan harga barang.

“Kenapa pula (mereka) nak kenakan caj tiba-tiba? Apa kena-mengena dengan kami (peniaga)? Lagi-lagi sekarang harga semua barangan nak naik. Semakin susah nak berniaga.

“Harapan saya, cubalah bantu kami peniaga kecil dan baru bermula ini. Tidak perlu untuk kenakan caj-caj ini,” tegasnya menyeru kepada pihak bertanggungjawab.

Peniaga restoran makanan, Asma akui dilanda kerisauan dengan caj transaksi kod QR DuitNow yang bakal dikuatkuasakan 1 Nov 2023.

Seorang peniaga restoran makanan, Asma, 32, juga mengeluh risau disebabkan caj transaksi QR DuitNow yang akan dikenakan kepada semua termasuk dengan peniaga restoran.

“Sekarang kita dah naik harga barang, beras pun sudah terpaksa beli beras import (tiada beras tempatan), ini lagi mahu tambah dengan caj transaksi online? Pelanggan pun susah tidak ramai. Jika begini, lebih baik tidak payah guna (kod QR) ini.

“Namun orang pakai masalahnya. Kita tak pakai ni (kod QR), nanti ada orang tanya ‘ada pakai QR tak?’. Bila kita kata tak ada, nanti dia pergi makan tempat lain,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan mulai 1 Nov ini, peniaga yang menerima wang melalui aplikasi QR DuitNow akan dikenakan caj transaksi hasil daripada penstrukturan harga oleh DuitNow, berkuat kuasa di semua bank.

Menurut sebuah e-mel sebaran daripada RHB Reflex, caj ini akan ditolak daripada akaun semasa atau akaun simpanan pada hari kelima setiap bulan.

Sementara itu, jabatan khidmat pelanggan RHB Reflex berkata, jumlah yuran yang dikenakan pada akaun peniaga yang menggunakan DuitNow akan bergantung kepada cara pemindahan sama ada akaun simpanan (debit) ataupun kad kredit. – HARAKAHDAILY 3/10/2023