BACHOK: Dua pelajar Orang Asli dari Pahang dan Negeri Sembilan berdepan dengan kesukaran untuk datang mendaftar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.
Pelajar berkenaam Fida Adira a/p Eron dari Karak dan Shahrizan Layar, 20, dari Negeri Sembilan mempunyai pengalaman berbeza demi menggapai kejayaan di masa hadapan.
Ayah Fida, Eron Binchar, 41, sanggup meminjam kereta saudara demi menghantar anak keduanya itu mendaftar masuk sebagai pelajar baharu bagi sesi 2022/2023 di UMK kelmarin.
Keluarga Orang Asli dari suku Temuan itu menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer dengan mengambil masa hampir empat jam dari Kampung Sungai Bot, Telemong, Karak ke Bachok.
Eron bersama isterinya, Fatimah Ali, 49, bertolak dari Bentong ke UMK sejak Sabtu bagi menghantar Fida melanjut pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW).
Menurutnya beliau meminjam kereta Proton Saga milik saudaranya kerana tidak mahu anaknya terjejas untuk belajar di universiti.
Katanya juga sebelum ini anak sulungnya pernah mendapat tawaran belajar di universiti namun kerana kesempitan hidup mereka tidak mampu membiayai yuran pengajian.
“Saya hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu dan
tinggal di pedalaman yang jauh dari segala kemudahan.
“Allhamdullilah, dengan inisiatif Bahagian Kemasukan UPU dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK kami berusaha untuk menghantar Fida ke sini.
“Sejak dari kecil Fida Adira rajin dan cemerlang dalam pelajaran. Selepas mendapat keputusan STPM beliau memilih UMK untuk menyambung pengajian,” katanya dipetik daripada Facebook Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi).
Sementara itu, Shahrizan Layar, 20, anak kepada penoreh getah dari Kampung Orang Asli Gebok, Mantin mahu merubah kehidupan keluarganya di kampung.
Beliau juga dari suku Temuan melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif di FTKW.
Beliau yang meminati bidang animasi mengakui kesukaran dan kesempitan hidup di pedalaman menjadi penguat semangat untuk berjaya.
“Kami tinggal di perkampungan di pedalaman dan dengan bantuan kenderaan milik sebuah agensi kerajaan datang menghantar saya ke UMK.
“Saya terharu dan berterima kasih kepada agensi tersebut yang bersusah payah untuk menghantar kami sekeluarga ke UMK,” ujarnya. – HARAKAHDAILY