Masalah bekalan air bersih di Pengkalan Kundur perlu diatasi 

Mardhiyah Johari

KUALA KEDAH: Masalah bekalan air bersih yang sering berlaku di beberapa kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit perlu diatasi segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari berkata, pihaknya mendapat aduan bahawa Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak menjawab panggilan telefon penduduk berkenaan; namun dalam masa yang sama SADA pula mendakwa tidak menerima sebarang aduan berkaitannya. 

Advertisement

“Sebenarnya saya pun agak resah dengan keadaan ini kerana aduan dari penduduk pihak SADA tidak menjawab panggilan telefon dan SADA pula mengatakan pihaknya tidak menerima adun daripada penduduk,”  katanya dalam hantaran di media sosialnya.

Walau bagaimanapun ujarnya, pihak Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Pengkalan Kundur dan Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) khususnya dari Kampung Sungai Nonang telah berusaha sebaiknya menyelesaikan masalah ini.

Sementara, kerosakan yang menjadi punca penduduk putus bekalan air juga jelasnya sudah dikenalpasti. 

“Punca kejadian telah dikenalpasti dan diperbaiki namun tidak pulih dalam tempoh segera, justeru SADA perlu memastikan bekalan air dihantar ke lokasi terlibat sehingga keadaan kembali seperti sediakala,”tambah beliau.

Menurut Mardhiyyah lagi, selain Kampung Sungai Nonang, Kuala Kangkung dan Alor Pulai, beberapa penempatan melibatkan Kampung Hujung Telok Bagan, Alor Serdang, Taman Desa Kiara, Alor Ibus, Selarong Batak dan Kampung Darat juga mengalami masalah yang sama.

“Punca kerosakan di tempat-tempat berkenaan telah dikenalpasti dan kesemua aduan berkenaan masalah bekalan air akan diambil perhatian oleh pihak SADA selepas ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/10/2023