BACHOK: Seramai 3,121 pelajar baharu telah mendaftar bagi sesi akademik 2023/2024 di ketiga-tiga kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Daripada jumlah tersebut, seramai 948 orang pelajar lelaki manakala seramai 2,173 orang pelajar wanita telah mendaftar masuk untuk melanjutkan pengajian di tiga buah universiti berkenaan.
Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr Razli Che Razak berkata, UMK menyasarkan menerima lebih 3,000 kemasukan pelajar baharu sesi akademik 2023/2024 bagi ketiga-tiga kampus iaitu di Bachok, Jeli dan Kota Bharu.
Menurutnya, proses pendaftaran berjalan lancar, malah pihaknya menerima maklum balas yang positif dari anggota keluarga yang teruja melihat anak-anak berjaya menyambung pengajian di situ.

“Jumlah kemasukan pelajar dijangka menunjukkan peningkatan berikutan proses pendaftaran pelajar masih berlangsung.
“Kaunter pendaftaran akan di buka sehingga malam bagi memudahkan urusan pelajar yang tinggal jauh dari Kelantan untuk urusan mendaftar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyatuni pelajar baharu termasuk pelajar kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan keluarga B40 di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Hj Zaluzi Bin Sulaiman; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Mohammad Ismail; dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Nik Maheran Nik Muhammad.
Beliau juga memberitahu bahawa pelajar baharu akan menjalani Minggu Mesra Mahasiswa (3M) bermula esok, 3 Okt hingga 4 Okt 2023.
“UMK juga telah menyampaikan sedikit sumbangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan sebagai inisiatif pihak universiti untuk pelajar terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2023