KUALA TERENGGANU: Tidak ada pencalonan daripada kawasan atau dewan-dewan macam mana hendak diadakan pertandingan.
“Kalau ada pencalonan. Sebelum ini pernah berlaku hatta jawatan presiden pun ada pertandingan kerana ada pencalonan mencukupi untuk melayakkan bertanding,” kata Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Oleh itu beliau menyifatkan tiada sebarang masalah untuk lima jawatan tertinggi PAS pada Muktamar Tahunan ke-69 tidak lama lagi.
Menurutnya PAS sangat terbuka dalam (pertandingan lima jawatan tertinggi) namun kena cukup syarat termasuk ada pencalonan di peringkat kawasan.
“Pertandingan adalah proses demokrasi biasa dalam parti,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman semalam.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ahli-ahli di peringkat cawangan dan kawasan mempunyai peranan membuat sebarang cadangan.
“Kita sangat responsif dengan cadangan-cadangan akar umbi, yang penting pimpinan tak mengarahkan mereka membuat apa-apa (yang mempengaruhi) untuk mengadakan pemilihan,” katanya.
Dr Ahmad Samsuri juga berkata, PAS tidak menutup suara-suara yang ingin memberi kritikan dan sebagainya.
“Itu terpulang kepada mereka kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi sesiapa sahaja boleh memberi pandangan dan pendapat.
“Apa yang penting PAS makin mengukuh dan terus berkhidmat untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat, negeri dan negara, itu yang paling penting,” katanya.
Pemilihan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk sesi 2023-2025 akan diadakan pada Muktamar Tahunan PAS ke-69, tahun ini.
Muktamar itu dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini di Shah Alam. – HARAKAHDAILY 2/10/2023