Siapakah yang lebih khianat antara kita?

Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya

KUALA LUMPUR: “Siapakah yang lebih khianat antara kita?” tanya Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya.

Advertisement

Beliau menerusi satu kenyataan, hari ini melontarkan pertanyaan itu sebagai respons kepada kenyataan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan.

Katanya, demi kuasa, jajaran baharu Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sudah dirancang awal secara sulit sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akhirnya berjaya walaupun kononnya dicanang itu semua fitnah musuh.

Menurutnya, Umno menipu ahlinya dengan slogan ‘No Anwar, No DAP’.

“Akhirnya Presiden menyokong Anwar, Anwar jaga Zahid. Dengan undi orang Umno akhirnya ahli Umno dipaksa terima DAP,” ujarnya yang juga Adun Panching, Pahang.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau yang bertajuk ‘Umno tak habis-habis play victim‘.

Sebab apa Umno kalah teruk dalam pilihan raya?

Kata Tok Mat kerana ‘rakan yang kita bina mengkhianati kita’. PAS yang dimaksudkan Tok Mat.

 Jika Tok Mat ada cerita, PAS pun ada cerita.

Berulang kali PAS mengajak Umno bersama. Tapi Umno tidak mahu Bersatu.

Diletakkan syarat yang pelbagai, ikut tekak nafsu Umno dan mengharapkan PAS tunduk sepenuhnya.

PAS mahu Umno dan Bersatu. Umno tidak mahu Bersatu.

Umno buang tokoh-tokoh pimpinannya yang tidak bersetuju.

Kenapa Tok Mat tidak cerita sejarah yang awalnya Umno setuju ajak Bersatu masuk Muafakat Nasional (MN), namun akhirnya hanya mahu Umno dan PAS sahaja.

Jika Umno boleh bersama Bersatu untuk berada dalam kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu, kenapa tidak boleh bersama dalam pilihan raya?

Umno buat onar jatuhkan kerajaan PN, Tan Sri Muhyiddin masih lantik orang Umno bukan orang dari partinya bukan dari PAS untuk menjadi PM.

Umno yang kalah teruk senang-senang dapat kerusi empuk dalam kerajaan. Tiada antara PAS atau Bersatu jatuhkan Perdana Menteri Umno.

PAS dan Bersatu mahu Dato’ Seri Ismail Sabri kekal hingga habis penggal. Siapa yang terkinja-kinja mahu bubarkan parlimen ketika itu?

Presiden Umno.

Tidak berhenti di situ, Umno khianat pula ahlinya. Walaupun berjaya bubarkan parlimen awal, rancangan Umno untuk menang besar masih gagal. Umno kalah teruk sekali lagi dalam PRU15.

Demi kuasa, jajaran baharu Anwar-Zahid yang sudah dirancang awal secara sulit sebelum PRU15 akhirnya berjaya walaupun kononnya dicanang itu semua fitnah musuh.

Umno menipu ahlinya dengan slogan ‘No Anwar, No DAP’. Akhirnya Presiden menyokong Anwar, Anwar jaga Zahid. Dengan undi orang Umno akhirnya ahli Umno dipaksa terima DAP.

Huru-hara ahli akar umbi untuk menelan pahitnya ditipu dan dikhianati parti sendiri.

Siapakah yang lebih khianat antara kita, Tok Mat? – HARAKAHDAILY 2/10/2023