Ribuan pelitup muka diagih akibat jerebu di Indonesia

Pasukan Petugas Posko Siaga Kesiapsiagaan Bencana Hutan dan Tanah dan Kehutanan Kabupaten Kapuas mengedarkan pelitup muka kepada pengguna jalan raya di Kota Kuala Kapuas, Indionesia pada Sabtu, 30 Sept 2023. (FOTO: ANTARA/HO-BPBD Kapuas)

KALIMANTAN SELATAN: Kerajaan Kalimantan Selatan akan mengagihkan ribuan pelitup muka bagi mengurangkan kesan kebakaran hutan dan tanah (karhutla) terhadap kesihatan penduduk.

Ketua Biro Tata Usaha Sekretariat Kalimantan Selatan, Berkatullah mengumumkan pendekatan  pengagihan pelitup muka secara serentak akan dilakukan di 50 titik berbeda di empat kabupaten (kota) iaitu Banjarmasin, Banjarbaru, Kabupaten Banjar, dan Batola pada hari ini, (2 Okt), lapor indonesianews.co.id.

Advertisement

“Inisiatif ini atas arahan Gabenir Kalimantan Selatan dan akan melibatkan seluruh SKPD Pemerintah Kalimantan Selatan,” katanya pada Sabtu (30 Sept) lalu.

Pengagihan pelitup muka akan dimulakan selepas Upacara Hari Kesaktian Pancasila di titik-titik strategik sepanjang jalan dari Banjarmasin ke Martapura.

“Pengagihan pelitup muka akan dilakukan di sepanjang jalan utama bermula dari hujung Kayutangi (Jambatan Ansal) hingga ke hadapan Masjid Al Qaromah Martapura,” tambahnya.

Selain itu, pelitup muka juga akan diedarkan di persimpangan Handil Bakti Batola dan persimpangan Jalan Trikora Palam Banjarbaru.

Menyentuh tentang punca pengagihan pelitup muka berkenaan, Berkatullah berkata, beberapa kawasan masih terjejas akibat asap jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah terutama pada sebelah pagi.

Sementara itu, Ketua UPTD Perkhidmatan Krisis Kesihatan dan Epidemik, Sri Wahyuni, mendedahkan pengagihan pelitup muka  telah dilakukan sejak awal Mei lalu sebagai usaha menjaga kesihatan penduduk daripada kesan asap kebakaran hutan dan tanah.

“Kami secara rutin mengedarkan pelitup muka kepada penduduk yang terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah, mengikut arahan Gabenor Kalimantan Selatan agar sentiasa bersedia membantu dalam menangani kebakaran hutan dan tanah,” kata Sri Wahyuni.

Selain mengagihkan pelitup muka, pihaknya juga telah menubuhkan pos perkhidmatan kesihatan kepada penduduk yang terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah di bulatan Landasan Ulin menghala ke lapangan terbang lama.

“Orang ramai yang terjejas akibat jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah supaya menjaga kesihatan dengan minum air secukupnya dan sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2023