BENTONG: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai mampu melontar isyarat perubahan yang amat kuat di peringkat pusat andai PERIKATAN NASIONAL (PN) diberi mandat memenangi kerusi ke-18, Sabtu ini.
Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya berkata, dengan segala permasalahan yang sedang ditanggung kerajaan, tekanan dan bebanan kos sara hidup serta kenaikan harga barang yang tinggi pada masa ini, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pelangai adalah cara terbaik rakyat menghantar mesej kepada kerajaan.
“Apa pengundi perlu buat, ubah, daripada BN kepada PN terutamanya kepada ahli-ahli Umno. Kenapa saya berkata begitu? Kerana Umno telah berubah dari perjuangannya yang asal,” ujarnya.
Beliau yang juga Adun Panching berkata, Umno adalah parti yang dasarnya memperjuangkan bangsa Melayu.
“Hari ini kita lihat Umno tidak lagi boleh diharap menjadi benteng kepada kuasa Melayu,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau juga kesal dengan sikap pemimpin Umno bilamana rakan sekutu daripada DAP melaungkan agenda Malaysian Malaysia dan negara sekular hanya mampu membiarkan sahaja.
Tarmizi menambah, sepatutnya pemimpin Umno menegur tindakan pimpinan DAP yang mengeluarkan kenyataan tersebut.
Justeru, ujarnya rakyat perlu sedar dan berubah dengan memberikan kepercayaan kepada gabungan parti yang menjadi sandaran rakyat Malaysia iaitu PN sebagai satu-satunya parti yang dapat menyatukan orang Melayu dan diyakini mampu memperjuangkan nasib bangsa dan Islam.
“Setakat pemerhatian jentera yang turun berkempen, kami mendapat komen dan maklum balas daripada ahli-ahli Umno, mereka tidak dapat menerima kerjasama antara Umno dan DAP,” katanya.
Menurut beliau, ahli-ahli Umno mendakwa pimpinan DAP begitu keras menghukum dan menggelar pemimpin Umno penyamun, perompak dan sebagainya dalam PRU ke 14 lalu, malangnya pucuk pimpinan sanggup bekerjasama pula dengan DAP pada PRU15.
“Kita harap ahli-ahli Umno dapat keluar mengundi dan memberi sokongan kepada calon PN, Cikgu Kasim Samat sebagai satu mesej jelas, rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Umno dan mahu beralih kepada PN, sandaran baru orang Melayu kini, insya-Allah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/10/2023