Pelangai: PAS Pahang kesal BN perkuda jentera kerajaan

Ustaz Tarmizi (kanan) bersama calon PERIKATAN NASIONAL PRK Dun Pelangai, Cikgu Kasim Samat.

BENTONG: PAS Pahang kesal terhadap tindakan Barisan Nasional (BN) secara terang-terangan ‘memperkuda’ secara wewenangnya aset dan jentera kerajaan berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai.

Advertisement

Ketua Penerangannya, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya berkata, kempen yang digunakan oleh BN sangat tidak adil dan lapuk semantara PERIKATAN NASIONAL (PN) sepatutnya diberi ruang dan peluang menari di atas tanah yang sama menawarkan yang terbaik untuk rakyat.

“Tindakan BN sangat tidak beretika, tidak adil, sudah lapuk, hampir semua agensi kerajaan dikerah dan diperkuda, dana kerajaan ‘digunasama’ bagi mengadakan program-program yang bersifat mega di Pelangai.

“Tujuannya apa? Nak tunjuk apa? Nak bagitahu dia kerajaan dia boleh buat apa yang dia suka, dia boleh bagi apa saja, beli satu percuma satu, (undi BN percuma DAP), inikah tawaran paling menarik yang BN boleh beri pada rakyat Pelangai?” ujarnya dalam kenyataan media, hari ini

Program-program bantuan seperti jualan rahmah, karnival kerjaya dan sebagainya walaupun tujuan untuk membantu, hakikatnya tindakan tersebut terang-terang suatu percubaan ‘membeli’ dan meraih sokongan rakyat untuk mengundi BN.

“Ibaratnya, dia (BN) ikat kaki tangan kita, lilit badan kita di pokok. Dia pergi berjalan jumpa orang, bagi segala macam, lalu dia buat tuduhan PAS, PN tidak buat apa, tidak boleh bagi apa untuk rakyat Pelangai,” luah Adun Panching itu lagi.

Katanya lagi, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya menjalankan siasatan secara telus dan adil serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap BN kerana terbukti mereka secara terang-terang melakukan kesalahan.

“Saya menyeru kepada rakyat Pelangai khususnya anak-anak muda yang berada di luar Pelangai yang akan pulang mengundi pada 7 Oktober nanti, guna sebaik-baiknya kuasa dan peluang kedua yang telah diberikan.

“Andai pemimpin yang di atas sanggup ubah dan mengubah apa yang mereka kehendaki dengan sesuka hati, rakyat yang di bawah siap sedia dengan senang hati mencari ganti pemimpin yang terbaik, ikhlas berbakti untuk rakyat dan negeri,” ujarnya lagi.

Pada PRK Dun Pelangai yang berlangsung 7 Oktober ini, PERIKATAN NASIONAL mengetengahkan Cikgu Kasim Samat sebagai calon yang berdepan dengan calon BN dan Bebas.

PRK itu diadakan selepas kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.– HARAKAHDAILY 2/10/2023