KLANG: Rakyat di Selangor diingatkan supaya berwaspada dan mengurangkan aktiviti luar susulan keadaan jerebu dan kualiti udara kurang sihat yang sedang melanda Malaysia termasuk di negeri ini.
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata, lima kawasan di Selangor sudah mencatatkan rekod bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sehingga jam 2 petang pada hari ini, Isnin.
“Setakat jam 2 petang tadi, bacaan IPU tidak sihat di Banting dicatat mencecah 156, Shah Alam (155), Petaling Jaya (155), Johan Setia (151), Klang (123) manakala, IPU sederhana di Kuala Selangor (88).
“Saya ingin menasihatkan masyarakat agar mengelakkan aktiviti luar yang tidak mustahak serta amalkan pemakaian pelitup muka yang bersesuaian, perbanyakkan minum air dan amalkan untuk memakan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Jaga kesihatan terutama bagi mereka yang berisiko seperti asma dan sakit paru-paru kronik perlu lebih berhati-hati dan dapatkan rawatan segera sekiranya keadaan merosot,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.
Beliau berkata, jerebu di beberapa negeri sejak Jumaat lalu berpunca daripada asap tebal susulan kebakaran hutan di Indonesia.
“Saya menasihatkan sekali lagi agar penduduk yang terkesan dengan jerebu segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan jika tidak sihat,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2023